Bekas pendidik swasta hilang punca pendapatan lalu dibuang keluarga, kini jadi gelandangan mula berkeliaran di sekitar PJ

Dibuang keluarga malah hilang punca pendapatan, tiada tempat berteduh dan tidak makan selama berhari-hari, begitulah nasib seorang wanita yang ditularkan menerusi sosial media baru-baru ini.

Menerusi catatan di Facebook selebriti dan komposer terkenal Hafiz Hamidun sejak Rabu lalu, perkongsian kisah hidup wanita itu telah meruntun jiwa warga maya ekoran takdir malang yang menimpanya.

Menerusi kisah yang diceritakan oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) sebuah pangsapuri dekat Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Dia yang juga bekas pendidik di sebuah sekolah swasta dikatakan terpaksa hidup sebagai gelandangan dan berkeliaran di sekitar Petaling Jaya kerana hilang punca pendapatan selepas diberhentikan.

Sekitar Mei 2023, beberapa bulan selepas dipecat sebagai guru, dia didakwa hanya bergantung kepada wang simpanan untuk membeli makanan melalui applikasi e-hailing.

Tidak hanya itu, bekalan elektrik dan air di kediaman sewanya juga turut dipotong akibat bayaran tertunggak.

Menurut hantaran itu, hasil tinjauan awal mendapati wanita tersebut mengunci diri dari dalam unit kediaman itu.

“Dia meneruskan kehidupan dengan meminta ehsan jiran-jiran untuk memberikannya makanan dan minuman.

“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Petaling telah melawat wanita itu di kediaman sewanya, namun dia tetap enggan keluar dari situ.

“Difahamkan, tindakan mengusir keluar hanya boleh dilakukan oleh pemilik unit tersebut, tetapi difahamkan pemilik ketika ini berada di Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Lebih malang, waris dan ahli keluarga kepada bekas guru itu didakwa sama sekali enggan bertanggungjawab dalam kes tersebut.

Sekitar September lalu, pemilik unit melalui ejen yang dilantik bertindak memotong kunci dan terpaksa mengusir wanita tersebut dari kediamannya kerana tunggakan sewa dan pada masa sama mereka enggan menimbulkan masalah lain.

Berdasarkan perkembangan terkini, wanita itu mula berkeliaran di sekitar pekarangan pangsapurinya untuk tidur dan mencari makanan dan tempat tinggal sejak Oktober lalu.

JMB turut merayu pihak media untuk menguar-uarkan kisah ini agar kes tersebut mendapat perhatian segera dan nasib wanita malang itu juga terbela.

Baca juga: 16 tahun tunggu zuriat, hanya sebulan Allah bagi pinjam, kembar 4 maut di tangan Zionis Israel