Bekas suami Siti Salehah mohon maaf, akui silap selepas guna kata kesat kepada wartawan

Gara-gara bertengkar dengan wartawan pada satu majlis 8 Mac lalu, bekas suami selebriti terkenal, Siti Saleha iaitu Ahmad Lutfi Azhar membuat permohonan maaf dan menawarkan gajinya bulan ini ditolak.

Ahmad Lutfi merupakan pegawai khas Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak dan kejaidan berlaku ketika dia sedang mengiringi Najib ketika kempen PRN Johor baru-baru ini.

Pertengkaran berlaku selepas Ahmad Lutfi didakwa memarahi wartawan kerana enggan memadamkan gambar yang diambilnya.

Dia juga didakwa menggunakan perkataan kesat dan merapatkan mukanya kepada wartawan itu..

“Saya dengan tulus ikhlas memohon maaf atas salah faham dan jika saya nampak seolah-olah menyinggung perasaan.

“Saya tegas tetapi tidak kesat, bagaimanapun saya tahu saya salah kerana saya tidak sepatutnya meminta media memadamkan gambar walaupun dia mengambil gambar saya – dan bukan Najib.

“Sangat tidak biasa bagi saya untuk bertindak seperti ini tetapi mungkin ia adalah kerana situasi tegang dan keletihan di jalan raya,” katanya memetik Malaysia kini.

Tambah Lufti, Najib tidak menyedari kejadian itu, tetapi apabila dia memaklumkan perkara berkenaan, bekas perdana menteri itu menegurnya dengan berkata: “Ini bukan cara kita dan kita harus sentiasa bertindak dengan sopan dan tidak terlalu tegas.”

Terjadi pertikaman lidah

Menurut saksi, kejadian itu berlaku pada 8 Mac ketika Najib mengiringi calon BN dari MCA bagi DUN Tangkak, Ong Chee Siang di Pusat Penjaja Tangkak Jaya.

Insiden itu berlaku ketika Najib dan Ong sedang menjamu selera, apabila sepasukan anggota pegawai dari jabatan kesihatan telah cuba mendekati rombongan Najib.

Seorang anggota rombongan yang memakai baju hijau muda menghampiri pegawai tersebut dan wartawan yang berada di situ mula merakamkan gambar.

“Apabila (Lutfi) menyedari seseorang sedang mengambil gambar, dia menghampiri seorang wanita yang mempunyai bukti bahawa dia adalah petugas media, dan memintanya memadamkan gambar yang diambil itu.

“Saya dengar wanita itu enggan berbuat demikian dan sebaliknya bertanyakan identiti individu tersebut. (Lutfi) menjawab bahawa dia adalah pegawai Najib dan berulang kali berkata ‘Najib bos saya’.

“Terjadi pertikaman lidah antara mereka dan lelaki itu menggunakan bahasa kesat terhadap wanita berkenaan. Malah, dia mendekatkan dirinya ke arah wanita itu. Dia sangat bongkak.

“Wartawan itu meminta lelaki tersebut supaya menjarakkan diri. Tetapi lelaki itu berulang kali membalas dengan kata kesat. (Pertengkaran) berakhir dengan kedua-duanya membuat panggilan telefon,” kata saksi kejadian.

Saksi turut berkata dia berada di lokasi untuk mengambil gambar tetapi berhenti berbuat demikian kerana bimbang selepas melihat tindakan Lutfi.

Katanya, dia kemudian mendekati pegawai jabatan kesihatan di kawasan tersebut dan mendapati mereka cuba mengeluarkan denda kepada Najib atas kesalahan yang dilakukan pada 26 Feb.