Belanjawan darurat dan politik khianat, kata Khalid

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diperluaskan ke seluruh Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan hingga 6 Disember ini ada kaitan dengan persediaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, ramai beranggapan PRU15 akan dilaksanakan beberapa bulan selepas pembentangan Belanjawan 2021.

“Ada yang kata PKPB ada tujuan politik nak halang pergerakan dalam persiapan untuk menghadapi PRU15.

“Ramai beranggapan kalau Belanjawan 2021 diluluskan sekali pun, dua, tiga bulan selepas itu akan bubar dan buat pilihan raya.

“Kalau tidak lulus begitu juga, akan ada pilihan raya. Maka, dengan adanya PKPB ini suasana sosial, pergerakan, penerangan, majlis akan jadi terhad dan disekat,” katanya menerusi Jom Channel semalam.

Beliau dalam Bicara YB Khalid Samad (Siri 82) bertajuk “Bajet darurat dan politik khianat” itu juga berpendapat PKPB bermula 9 November lalu dilaksanakan secara sewenang-wenangnya.

Bahkan, Ahli Parlimen Shah Alam itu berpendapat PKPB adalah rentetan daripada penolakan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu terhadap permohonan Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 Oktober lalu untuk mengisytiharkan darurat.

“Padahal, ada daerah di Selangor dan Johor tiada kes positif Covid-19. Orang semua terperanjat kenapa kerajaan buat cara mudah seolah-olah ada orang sakit kaki terus habis dipotong.

“Itu penyelesaian yang malas. Malas nak kaji, kenal pasti mana kawasan yang benar-benar bermasalah untuk kawasan itulah patut diberi tumpuan dan sekatan.

“Itulah sebabnya dia nak buat darurat pun. Ada teori mengatakan dia nak darurat kerana ada tiga negeri yang dia tidak dapat kuasai iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan,” jelasnya dalam bual bicara dimoderatorkan Shaiful Roseman itu.

Sehubungan itu, Khalid menempelak gesaan usah berpolitik di pihak kerajaan ketika negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) iaitu Johor, Melaka, Perak, Kedah dan Sabah jatuh kepada Perikatan Nasional (PN) sama ada melalui lompat parti dan khianat.

“Jadi, sekarang ada tiga negeri yang dia (PN) tidak boleh kuasai, yang mana dia nak ambil kuasa melalui darurat.

“Cakap jangan politik tapi sebenarnya matlamat dia adalah politik. Itu sebab ada peruntukan besar untuk Jasa (Jabatan Hal Ehwal Khas) sebagai propaganda kerajaan walaupun dia nafi,” tegas Khalid lagi.