Belum pun cukup 100 hari, PM dijangka rombak semula kabinet dalam masa terdekat

Belum pun cukup 100 hari, PM dijangka rombak semula kabinet dalam masa terdekat

Spekulasi sedang bertiup kencang bakal berlaku rombakan kecil di koridor kuasa Putrajaya apabila Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikatakan mahu menyusun barisan Kabinetnya semula.

Ismail Sabri dijangka akan membuat rombakan kecil melibatkan barisan Jemaah Menterinya dan berkemungkinan akan berlaku pertukaran portfolio disamping kemasukkan muka baharu dalam kerajaan yang dipimpinnya.

Bagaimanapun tidak pasti sama ada akan berlaku penambahan barisan Menteri atau Timbalan Menteri dalam kerajaannya, namun sumber memberitahu Agenda Daily Ismail Sabri tidak mempunyai banyak pilihan sekiranya mahu kekal menjadi PM.

Selain itu, pegawai-pegawai kanan di Kementerian juga terdapat yang sudah mengeluh apabila tidak sampai 100 hari pentadbiran baharu dibentuk tiba-tiba bakal berlaku pula rombakan kecil Kabinet.

“Pegawai di Kementerian sudah membuat persediaan dengan pelbagai program sudah dirancang melibatkan Menteri dan Timbalan Menteri, tetapi kini terpaksa menukar perancangan selepas dimaklumkan secara dalaman bakal berlaku rombakan Kabinet ini.

“Langkah merombak Kabinet dalam masa yang singkat ini mengganggu pentadbiran yang sedang berjalan, sudah lah negara baharu sahaja berdepan krisis politik sehingga berlaku pertukaran PM dan kini mahu pula merombak barisan Jemaah Kabinet,” kata sumber.

Namun, langkah yang diambil Ismail Sabri ini agak mengejutkan kerana belum cukup 100 hari sudah terpaksa membuat sedikit pertukaran terhadap barisan Jemaah Menterinya.

Menurut sumber lagi, pentadbiran Ismail Sabri kini berdepan tekanan yang teruk terutamanya melibatkan kumpulan daripada kluster mahkamah dan beberapa rentetan keputusan mahkamah sudah jelas memberi isyarat sebenar yang sedang dihadapi beliau.

Ismail Sabri mengangkat sumpah pada 21 Ogos lalu dan meletak sasaran 100 hari sebagai penanda aras petunjuk pretasi utama (KPI) kepada Jemaah Menterinya untuk membuktikan kemampuan mereka.

Bagaimanapun, kritikan kuat terhadap Ismail Sabri yang dilihat lebih mengutamakan Keluarga UMNO berbanding Keluarga Malaysia ekoran beberapa episod yang melibatkan personaliti terpalit dengan kes mahkamah.

Ismail Sabri selepas dilantik menjadi PM Kesembilan mengumumkan senarai barisan ‘Kabinet Berorientasikan Hasil’ iaitu pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat.

Beliau membentuk Kabinet itu yang juga satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia.

Selain itu, beliau turut mengekalkan format tiada Timbalan Perdana Menteri dan mengekalkan struktur empat Menteri Kanan seperti pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Terdapat juga beberapa muka baharu yang dibawa masuk dalam barisan Kabinetnya, antaranya ialah Senator Idris Ahmad (PN-PAS), dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (PN-BERSATU), manakala mereka yang kembali ke Kabinet ialah Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Tan Sri Noh Omar .

sumber : https://www.agendadaily.com/isu-semasa/belum-cukup-100-hari-ismail-sabri-sudah-mahu-merombak-barisan-kabinet/

COMMENTS