Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah diiktiraf pembangkang apabila membenarkan Belanjawan 2021 diluluskan tanpa tentangan di peringkat bacaan kali ke-2 di Dewan Rakyat, semalam.
Mahathir berkata, tindakan Ahli Parlimen pembangkang lain yang mengambil keputusan menentang Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa tidak membawa apa-apa kesan signifikan ke atas kerajaan.
“Ia hanya usaha untuk mengalih pandangan kritikan rakyat yang kecewa dengan sikap pembangkang. Selama kerajaan Muhyiddin Yassin tertubuh, pihak pembangkang berusaha menjatuhkannya dengan undi tidak percaya di Parlimen.
“Tetapi ini tidak berlaku. Apabila diminta adakan undi belah bahagi, hanya 13 ahli pembangkang yang berdiri. Maka belanjawan dilulus dengan lebihan suara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 di peringkat dasar melalui undian suara, selepas sebahagian besar Ahli Parlimen, termasuk pembangkang tidak menyokong cadangan undi belah bahagi.
Hanya 13 Ahli Parlimen yang bangun menyokong cadangan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) untuk undi belah bahagi diadakan berbanding syarat minimum 15 Ahli Parlimen bagi menyokong cadangan itu.
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata, keputusan majoriti pembangkang untuk tidak menyokong cadangan mengadakan undian secara belah bahagi kerana tidak mahu mengganggu Belanjawan 2021 di peringkat awal.
Anwar turut mengingatkan Belanjawan 2021 masih boleh ditolak pada bacaan dan perbahasan seterusnya sekiranya ia masih tidak memenuhi aspirasi rakyat.
Mahathir berkata, sebelum persidangan Dewan Rakyat bermula, tidak kurang 25 usul undi tidak percaya dikemukakan oleh Ahli Parlimen pembangkang terhadap Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun.
“Bahkan, ada pemimpin yang datang berjumpa saya sehari sebelum nyatakan tentangan mereka. Tidak dapat tidak, kita cenderung untuk percaya yang pelbagai gula-gula ditawar untuk dapat sokongan,” katanya.
Beliau mendakwa, Ahli Parlimen dari blok pembangkang sanggup berkompromi dan menolak prinsip mereka, serta menggadai sokongan rakyat untuk kepentingan sendiri.
“Saya dan kumpulan Pejuang akan terus tolak belanjawan ini. Ini kerana kami tidak nampak apa-apa manfaat jangka panjang kepada negara dalam usaha tangani masalah ekonomi yang merudum akibat Covid-19,” katanya.
Katanya, kerajaan tidak mempunyai apa-apa rancangan untuk pulih dan kembangkan ekonomi serta bantu perniagaan yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19.
“Yang ada hanya pemberian wang dan lebih banyak wang yang ditawar untuk menawan hati rakyat. Tidak dinyata di mana dan bagaimana kerajaan akan dapat hasil untuk biayai semua ini,” katanya.
sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/27/benar-belanjawan-lulus-bukti-pembangkang-iktiraf-kerajaan-pn-kata-dr-m/