“Benci betul mak dengan abah, abah makan sorang dekat dapur bahagian luar sebab mak tak bagi makan sama-sama, bilik abah pun paling hujung dapur dengan takde lampu…”

Assalamualaikum semua. Ini pertama kali aku luahkan dekat sini jadi biar aku kenalkan diri aku dulu. Aku Ms. Cat berumur lewat 30-an, masih belum berkawin dan menetap di selatan tanah air. Aku ada sorang kakak, sorang abang dan aku adalah anak yang bongsu.

Kakak dan abang aku dua-dua dah kahwin. Terlalu banyak konflik dalam keluarga aku sebenarnya tapi untuk kali ni aku fokuskan kisah tentang mak. Ye, mak aku. Aku menulis bukan untuk mengaibkan keluarga aku apatah lagi mak yang aku sangat sayang.

Satu-satunya mak yang aku ada dalam dunia ni, cuma aku mahu kisah ini dinilai dan dijadikan tauladan untuk kita semua. Besar hati aku kiranya pembaca sekalian dapat memberikan pandangan dan jalan yang terbaik apa yang harus aku buat.

Cerita ni agak panjang yelah berpuluh tahun punya pendam tapi aku akan cuba ringkaskan sependek yang boleh. Bermulanya mak aku ni nampak macam mak yang normal pada pandangan orang luar. Tapi pada kami sekeluarga, mak bukan biasa-biasa.

Apa yang aku ingat sejak aku darjah 4 ke 5 hubungan mak dengan abah aku dah tak baik. Sebab tu akulah anak yang terakhir keluar. Diorang ni selalu sangat bergaduh, bertengkar, caci maki, masa tu aku ingat lagi sampai abah aku nak keluar dari rumah.

Puncanya mak aku cemburu buta. Tapi sampailah sekarang mereka masih bertahan sebab aku tengok abah aku banyak buat tak layan je, dah tua-tua malas dah nak gaduh. Abah aku sangat sabar, tapi kadang-kadang sampai satu tahap aku fikir abah aku ni dah jatuh dayus.

Dayus sebab mak aku berkuasa penuh dalam rumah ni. Dari segi membuat keputvsan hinggalah bab perbelanjaan. Abah aku bekerja sorang, mak aku suri rumah sepenuh masa. Ha.. tu baru mukadimah. Apa yang pelik mak aku ni? Banyak sangat.

Mak aku memang tak suka abah aku dari aku kecik. Suka tengking, marah-marah, semua jadual hidup abah, mak yang aturkan. Sampai nak pergi berjemaah di masjid pun dia cuma benarkan pada hari Jumaat, terawih, sembahyang raya.

Tu je, yang lain semua solat kat rumah. Abah aku ni gigih sebenarnya nak berjemaah, yelah umur dia bukan muda lagi. Kesiankan.. Bilik mak abah aku memang dah lama asing. Abah aku dapat bilik paling hujung dapur, tak de lampu.

Dia suruh abah aku solat kat rumah, abah aku solat dalam gelap. Kadang-kadang abah mengaji pun pakai touch light, bayangkanlah kejamnya mak aku ni. Makan abah aku memang mak aku masakkan, tapi dia asingkan awal-awal.

Dia tak akan bagi abah aku makan sama dengan anak-anak. Abah aku akan makan sorang je dekat meja dapur bahagian luar. Aku sekali sekala balik nak sangat rasa makan satu family. Bayangkan bulan puasa pun sama, kami makan kat dalam ramai-ramai tapi abah aku kat belakang sorang diri.

Anak-anak takde siapa yang berani bangkang sebab mak aku ni kalau ditegur lagi-lagi kalau pasal abah aku jawabnya, kau gali kubur tanam diri sendiri. Benda ni dah berlanjutan berpuluh tahun. Jadi kami cuba pujuk hati biasakan diri.

Lagi satu mak aku punya panas baran lain macam. Kalau ada yang dia tak puas hati, pinggan pun boleh terbang, pintu, tingkap semua dia hempas. Caci maki ni makanan kami dah. Kakak aku pernah pindah duk dengan mak aku ni, tapi tak boleh sabar sampai dia pindah kat tanah mak mertua dia.

Alhamdulillah sekarang aku tengok dia dah bahagia. Abang aku pulak memang duk rumah sama dengan mak aku ni tapi abang aku bijak sikit dia pisahkan rumah atas dengan bawah. Jadi dia tak share rumah, so kurang sikit tekanan.

Aku ni pernah lepas kakak aku merajuk pindah, aku kesian dengan mak aku. Jadi aku buat keputusan yang salah, berhenti keje dan pindah duk sekali untuk temankan dia. Aku rasa aku ni paling sabar dalam 3 beradik ni tapi aku terima nasib yang sama.

Masa mula-mula pindah ok sebab masa tu aku ada simpanan jadi tak harap duit dia. Tapi lama-lama aku dah kering duit. Kerja pulak tak dapat-dapat lagi, mak aku dah mula mengungkit-ungkit yang tak best dia suka mengata anak menantu kat jiran-jiran.

Ada makcik bawang depan rumah ni mengadu balik pada kami anak-anak ni. Aku bukan tak pernah rujuk benda ni kat orang-orang tertentu, dah banyak tempat aku pegi. Jawapan semua sama, mak aku ada saka. Saka tu yang kawal mak aku ni, aku dah berubat macam-macam tanpa pengetahuan mak aku tapi masih Allah belum bagi jalan.

Ha, cerita pasal saka ni aku jadi seram. Saka tu macam boleh bagitahu dengan mak aku kalau anak-anak dia ada buat something. Senang cerita dia tau orang ubatkan dia, silap-silap aku tengah tulis ni pun saka tu tengah baca sama.. ishhh. Ok lah, mak aku dah panggil ni, mak ke saka dia pun tak tahu yang panggil.. -Ms. Cat yang suka kucing-

Baca juga: Makcik tahan sebak nak gadaikan gelang emas pemberian suami buat netizen keluar air mata