Seorang pekerja kilang menikam rakan sekerjanya semasa berbuka puasa di hostel mereka di Seksyen 36, Shah Alam, pada hari Selasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 7.20 malam.
Kejadian itu diyakini berlaku setelah suspek lelaki berusia 51 tahun marah kerana mangsa didakwa meminum air oren miliknya semasa berbuka puasa.
“Hasil siasatan polis mendapati mangsa adalah warga Bangladesh berusia 49 tahun dan bekerja sebagai pekerja am. Manakala suspek adalah warga Pakistan tinggal bersama-sama di dalam kontena yang dijadikan sebagai hostel kilang.
“Kejadian berpunca daripada suspek marah apabila mangsa meminum air berperisa orennya semasa berbuka puasa. Suspek bertindak menikam mangsa beberapa kali dengan menggunakan sebilah pisau yang diambil daripada dapur,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Suspek ditangkap di lokasi kejadian pada pukul 7.30 malam dan hasil semakan mendapati mereka berdua adalah rakan sekerja.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun.
Baca juga: “Kakak ipar mengamuk bila aku balik rumah mak aku, katanya siapa nak masak kalau bukan aku”