Timbalan Speaker Dewan Rakyat, yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, Mohd Rashid Hasnon mempertahankan tindakannya melakukan lawatan kerja ke luar negara.
Seperti yang dipetik oleh Malaysakini, “Saya berada di Vienna dalam lawatan kerja. Saya di sini atas kapasiti saya sebagai wakil rakyat, sebagai ahli Parlimen.
“Saya melawat beberapa negara untuk bertemu rakan sejawatan saya atas kapasiti saya sebagai timbalan speaker,” kata Rashid, dipetik The Vibes.
Semalam Kartunis Zunar mengkritik Rashid kerana melakukan lawatan ke luar negara ketika sesetengah negeri dilanda banjir.
Ketika berita ini ditulis, ciapan Zunar dikongsi sebanyak 449 kali.
Seronoknnya pergi luar negara time ni.
Apa Komen anda? pic.twitter.com/nwbXSX4ed5— Zunar Cartoonist (@zunarkartunis) January 1, 2022
Zunar turut memaparkan gambar yang menunjukkan isteri Rashid turut sama mengikuti rombongan Rashid ke luar negara.
“Seronoknya pergi luar negara time ni. Apa komen anda?” soal Zunar.
Kelmarin Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor, Penolong Pesuruhjaya (PA) Kamal Mokhtar berkata, Batu Pahat antara enam daerah di Johor yang diramal dilanda banjir.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) hari ini memaklumkan sudah melaksanakan beberapa langkah persediaan bagi menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku di sekitar di daerah itu bermula hari ini hingga Rabu.
Minggu lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan anggota kabinet untuk membatalkan cuti mereka dan menteri yang sedang berada di luar negara agar pulang segera.
Menurut Ismail, pembatalan cuti itu berkuat kuasa sehingga masalah banjir ketika ini selesai.
Tarikh sebenar perjalanan dan jadual lawatan Rashid di luar negara tidak diketahui.
Rashid memberitahu The Vibes bahawa dia melawat Austria, Slovakia dan Iran serta dijadualkan pulang pada 8 Januari.