Baru-baru ini, Nurul Hana, anak bongsu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima tepukan gemuruh ketika majlis graduasinya di New York University (NYU), Amerika Syarikat.
Tepukan tersebut diberikan setelah Nurul Hana naik ke pentas sambil membawa kain rentang yang tertera perkataan ‘Free Palestine’ sebagai tanda solidariti terhadap masyarakat Palestin yang ditindas oleh Israel.
Nurul Hana turut menggayakan Kefiyyeh bersama topi mortar miliknya ketika menerima skrol tamat pengajian. Video aksi tersebut dikongsikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim melalui akaun media sosial X miliknya pada Jumaat lalu. Dalam hantaran tersebut, Anwar mengucapkan tahniah kepada Nurul Hana atas pencapaiannya.
“Sekalung tahniah buat anak bongsu saya, Nurul Hana yang bergraduasi dari New York University (NYU). Hana juga nyatakan solidariti bersama rakyat Palestin,” ciap Anwar.
Perkongsian tersebut berjaya menarik perhatian ramai, dengan lebih daripada setengah juta tontonan dan 9,603 tanda suka di platform X. Pengguna media sosial turut berkongsi rasa gembira dan mengucapkan tahniah kepada Nurul Hana atas kejayaannya menamatkan pengajian di luar negara.
Mereka juga mengagumi keberanian Nurul Hana yang menyatakan solidariti buat Palestin di negara yang banyak menghulurkan bantuan kepada Israel.
Tindakan Nurul Hana tersebut dianggap berani dan penuh makna, terutama dalam konteks kebebasan bersuara dan solidariti antarabangsa terhadap isu kemanusiaan di Palestin.
Baca:Kecoh kubur suspek serang balai polis dijarakkan, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor beri penjelasan