Kaki membengkak dan berdenyut sakit sampai menangis dan payah nak tidur malam adalah keadaan menyeksakan yang lazim dialami penghidap gout.
Ikuti perkongsian dan nasihat Dr Ahmad Samhan yang pernah melihat depan matanya sendiri lelaki bawah umur 30-an pun tidak terkecuali kena penyakit akibat pengumpulan asid urik yang berlebihan ini:
Sakit sungguh ni doktor!
Seorang lelaki, berusia 28 tahun masuk ke bilik konsultasi dengan menapak dengan tumit.
“Tiba-tiba saja jadi bengkak dan merah. Nak berjalan terpaksa guna tumit. Sakit berdenyut sampai tak boleh tidur”
“Merah ni, saya sentuh pun panas. Ini gout”
Gout adalah keradangan yang berlaku pada bahagian sendi disebabkan pengumpulan asid urik dikawasan tersebut.
Penyakit Gout ini terjadi akibat dua faktor iaitu akibat asid urik yang berlebihan di dalam badan dan akibat asid urik yang tidak dibuang dengan berkesan daripada badan.
Asid Urik yang berlebihan ini menyebabkan pembentukan kristal berbentuk jarum pada sendi.
Asid urik biasanya akan mendap pada sendi ibu jari kaki.
Tetapi ia juga boleh terkumpul pada sendi lain seperti belakang kaki, buku lali, lutut, pergelangan tangan, siku dan jejari tangan.
Pengumpulan asid ini boleh menyebabkan bonjolan kecil pada kulit, dipanggil tophi.
Pada keadaan yang lebih serius, tophi menjadi terlalu besar dan boleh pecah, serta mengeluarkan bahan seperti kapur.
BAGAIMANA DIAGNOSA GOUT?
Seseorang doktor akan membuat diagnosis gout berdasarkan kriteria tertentu.
Ia memerlukan 2 kriteria daripada 4 yang tersenarai di bawah:
1️⃣ Sejarah serangan sendi sekurang-kurangnya 2 kali, dimana radang sendi tersebut pulih dalam masa 2 minggu.
2️⃣ Sejarah serangan terhadap sendi ibu jari kaki yang disebut podagra (1st Metatarsal)
3️⃣ Adanya benjolan di bawah kulit yang dipanggil tophus/tophi.
4️⃣ Tindak balas yang baik dengan pengambilan colchicine dalam masa 48 jam.
CARA ELAK GOUT?
Antara cara yang paling berkesan bagi mengelakkan gout ialah dengan menjaga pemakanan anda.
Anda perlu mengelakkan makanan yang kaya dengan kandungan purine dan tinggi gula fruktosa.
Antara makanan yang mengandungi kandungan purine yang tinggi termasuk:
❌ Ikan – bilis, sardin, salmon
❌ Daging (otot) – Ayam, lembu, kambing, angsa, itik, ayam belanda, arnab, khinzir
❌ Ibu roti (yis)
❌ Daging (organ) – hati, buah pinggang jantung, otak
❌ Kerang, kepah, ketam, udang galah
❌ Kekacang – kacang panjang, kacang pea
❌ Sayuran – bayam, cauliflower, asparagus, cendawan
❌ Makanan tinggi fruktosa- minuman berkarbonat, jus buah, aiskrim, buah dalam tin.
BAGAIMANA GOUT DIRAWAT?
Ada 2 matlamat penting dalam merawat pesakit gout:
1️⃣ Mengurangkan tahap keradangan dan sakit dengan ubat-ubatan seperti NSAIDs, colchicine atau prednisolone.
2️⃣ Menurunkan tahap urik asid di dalam badan agar tiada lagi serangan sendi akan berlaku.
Ini juga akan menyebabkan tiada pembentukan tophi yang baru serta pengurangan tophi yang lama. Tophi boleh hilang sekiranya ianya tidak terlalu keras.
3️⃣ Mengelakkan serangan gout berulang dengan menjaga pemakanan iaitu dengan mengurangkan kandungan makanan yang mengandungi kandungan purine yang tinggi.
Kongsikan maklumat ini sebab semakin ramai yang alami penyakit gout terutamanya mereka yang di bawah lingkungan bawah 30-an disebabkan tak menjaga pemakanan.
BACA JUGA Murid hadiahkan beg Smiggle, Kate Spade kepada rakan dan guru sempena hari akhir sekolah