Berdosa besar bagi sesiapa yang tak ganti puasa, tapi ada kaedah terbaik cara ingat bilangan hari yang dikongsi seorang pendakwah Ustaz Muhidin Mokter.
Ramai yang menganggap hanya wanita sahaja yang perlu berpuasa ganti. Hakikatnya, terdapat sebilangan kaum Adam wajib berbuat demikian bagi mereka yang meninggalkan puasa Ramadan disebabkan keuzuran tertentu.
Namun berapa hari yang ditinggalkan itu menjadi persoalan kita sampai kita terlupa bilangan puasa yang ditinggalkan dan apa kaedah pengiraan disarankan agama?
Menjawab persoalan itu, penceramah tersebut menjelaskan, kita perlu yakin jumlah hari yang ditinggalkan untuk memastikan tanggungan kewajipan berkenaan terangkat.
“Jika terlupa bilangan hari ditinggalkan, maka perlu dikira dengan yakin berdasarkan kaedah pengiraan maksimum.
“Umpamanya, seorang wanita yang terlupa bilangan hari puasa ditinggalkan disebabkan keluar darah haid, maka dia perlu ambil maksimum kebiasaan bilangan hari hadas besarnya atau maksimum 15 hari. Bagi darah nifas pula, maksimum kebiasaan adalah 40 hari atau maksimum nifas pula 60 hari.
“Andai tidak pasti dan ragu-ragu sama ada tiga atau empat hari, maka ambillah empat hari, itu lebih diyakini,” terangnya panjang lebar.
Dalam pada itu, Muhidin mengingatkan agar mereka yang mengqadakan puasa supaya tidak sewenang-wenangnya membatalkan ibadah sedang dilaksanakan tanpa sebarang keuzuran syarie.
“Apabila seseorang telah memulakan dan berniat puasa qada, maka dia perlu menyempurnakannya hingga selesai kecuali disebabkan keuzuran dibenarkan syarak yang mengharuskan untuk membatalkannya,” tuturnya.
Beliau turut memperbetulkan salah faham sebilangan orang yang menganggap wajib berpuasa qada sekali ganda andai berlaku uzur syarie saat dirinya sedang menggantikan puasa Ramadan.
Wanita yang sedang berpuasa ganti kemudian batal disebabkan keluar darah haid perlu menggantikan ibadah itu sekali tanpa sebarang penggandaan bilangan puasa.
Ketahuilah bahawa puasa qada yang terbatal memberi maksud, tuntutan kewajipan ibadah berkenaan ke atas seseorang itu tidak terangkat, ungkapnya.
Disebabkan itu, beliau menjelaskan, menjadi tanggungjawab individu tersebut untuk menyempurnakannya.
“Seperkara lagi, perbuatan mengqada (puasa) bukanlah satu kewajipan baharu yang perlu diganti sebagaimana ibadah (puasa) yang asal.
Oleh itu, kewajipan ke atas seorang yang meninggalkan puasa adalah hanya melibatkan ibadah yang ditinggalkan sahaja.
“Kegagalan menyempurnakan puasa qada tadi tidak memberi kesan kepada pertambahan kewajipan yang lain. Mudah kata, hanya wajib menggantikan satu puasa asal yang ditinggalkan sahaja,” katanya.
Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Muhidin mengingatkan, orang yang culas dalam menggantikan puasa hingga meninggal dunia tanpa uzur syarie dikira berdosa.
Ini kerana katanya, ia dianggap sebagai hutang kewajipan kepada ALLAH SWT yang tidak ditunaikan.
“Meringan-ringankan untuk menggantikan puasa Ramadan bagi mereka yang sihat dan mampu berpuasa adalah satu kecuaian dalam menunaikan tanggungjawab agama dan dibimbangi kedatangan kematian secara mengejut sehingga tidak dapat menggantikan puasa yang ditinggalkan,” ungkapnya.
Baca juga: Kagum! Walaupun usia sudah 80 tahun Penyimpan Mohor Besar Raja-raja boleh hafal teks