Bergabung dengan PH : “Dalam politik apa-apa boleh berlaku” – Muhyiddin

  • Post author:
  • Post comments:0 Comments

Belum wujud sebarang rundingan antara Perikatan Nasional (PN) dengan parti pembangkang bagi berdepan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Memetik dari Agenda Daily, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN bagaimanapun berkata dalam politik sebarang kemungkinan boleh berlaku, ia selepas wujud cadangan beberapa pemimpin Parti Amanah Johor yang menggesa supaya pintu rundingan dibuka dengan semua parti bagi melawan UMNO daripada terus berkuasa dan membuat keputusan sesuka hati.

“Ya, saya ada terbaca dalam media tapi setakat ini tidak ada lagi move (langkah). Jadi saya tak boleh nak menyatakan ya perlu ataupun tidak.

“Tetapi dalam politik ini apa-apa boleh terjadi tapi janganlah media salah tafsir dengan berkata Muhyiddin bersetuju,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat PN di Pagoh hari ini.

Namun, setakat ini tidak ada pihak atau parti yang mendekati PN bagi berbincang berhubung isu rundingan bagi menghadapi PRN Johor secara bersama, namun sekiranya terdapat tawaran ia akan dibincangkan sesama parti dalam PN kemudiaan.

“Setakat hari ini tidak lagi (tawaran rundingan)… Tapi kalau ada akan datang, nanti pimpinan parti yang akan buat keputusan bukan saya, tapi apa yang boleh saya katakan setakat ini tidak ada sebarang rundingan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad mencadangkan supaya PH membuka pintu rundingan dengan Bersatu bagi mengelak episod PRN Melaka berulang lagi.

Selain itu, seorang lagi bekas Ahli Jawatankuasa Amanah, Mazlan Aliman juga berkata PH perlu memikirkan kerjasama lebih luas berbanding hanya melihat kepada parti pembangkang seperti Pejuang, Warisan dan MUDA.

Langkah tersebut penting jika tidak mahu senario di Melaka dan Sarawak berulang, ia ibarat “serah tengkuk” kepada UMNO dan BN.

Kedua-dua pemimpin tersebut berpandangan langkah tersebut penting jika tidak mahu senario di Melaka dan Sarawak berulang.

Sabtu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan pembubaran Dewan Undangan Johor bagi membolehkan PRN diadakan selepas Baginda menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor pada Sabtu.

PRN Johor terpaksa diadakan ekoran kedudukan kerajaan pimpinan Hasni hanya memiliki kelebihan satu kerusi apabila blok kerajaan hanya menguasai 28 DUN manakala PH pula 27 kerusi daripada 56 DUN.