Ibu bapa di Britain bergelut untuk besarkan anak sehingga perlu berhabis banyak duit disebabkan peningkatan kos penjagaan kanak-kanak dan makanan khusus untuk kanak-kanak.
Lapor akhbar Metro UK, kos untuk membesarkan anak melonjak sejak sedekad lalu.
Sementara itu, kajian firma pakar pelaburan, Moneyfarm mendapati bahawa ibu bapa perlu membelanjakan lebih £220,000 (RM1.3 juta) untuk membesarkan seorang anak sehingga mencapai usia dewasa 18 tahun.
Kajian serupa oleh syarikat pengeluar produk pembinaan kemahiran kanak-kanak, SmarTrike pula mendedahkan angka yang lebih tinggi.
Kajian SmarTrike mendapati kos untuk membesarkan anak dari awal usia melonjak sebanyak 75 peratus dalam masa 10 tahun, sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan kos penjagaan kanak-kanak.
Anggaran tersebut mengambil kira perbelanjaan sebanyak £23,500 (RM140,662) setahun untuk membesarkan anak yang lebih kecil.
Ia melibatkan kos purata kira-kira £15,000 (RM89,784) setahun untuk budak berusia bawah dua tahun.
Pengarah Kewangan Peribadi laman pelaburan AJ Bell, Laura Suter berkata, purata kos penjagaan seorang kanak-kanak kini menelan belanja lebih separuh daripada gaji purata ibu bapa di beberapa kawasan di Britain.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan ramai ibu bapa bergelut untuk menyediakan kemudahan asas lengkap kepada diri sendiri dan anak-anak mereka.
“Kami dapat melihat bahawa ramai orang menghadapi kesukaran untuk memenuhi keperluan hidup,” katanya.
Beberapa kajian lain menunjukkan bahawa ibu bapa terpaksa menanggung beban krisis kos sara hidup, dengan kebanyakan perbelanjaan mereka meningkat jauh melebihi kadar inflasi.
Kos penjagaan anak dalam masa sama, melonjak enam peratus pada tahun lepas dan melebihi kadar inflasi.
Ia berlaku ketika ramai ibu bapa yang bekerja berdepan mandat ‘kembali ke pejabat’ daripada majikan mereka sekali gus meningkatkan keperluan penjagaan anak.
Firma penyedia penjagaan kanak-kanak, Pebble menganggarkan secara purata, ibu bapa yang bekerja perlu mengeluarkan kos tambahan sebanyak £664 (RM3,974) untuk penjagaan anak pada setiap bulan.
Keadaan itu disukarkan lagi oleh harga bil utiliti yang melonjak sekali gus memberi tekanan kepada ibu bapa yang sudah bergelut untuk menyediakan makanan buat ahli keluarga.
Selain itu, makanan khusus untuk kanak-kanak turut mencatatkan peningkatan harga melebihi kadar inflasi.
First Steps Nutrition Trust menganggarkan bahawa harga susu formula bayi meningkat 24 peratus antara Mac 2021 hingga April tahun lalu.
Kos lain yang turut meningkat termasuk pakaian seragam sekolah serta kos hobi dan aktiviti kanak-kanak, demikian menurut Moneyfarm.
Sementara itu, bagi menangani masalah tersebut, kerajaan Britain mengumumkan beberapa dasar bertujuan membantu ibu bapa menghadapi kenaikan kos untuk membesarkan anak.
Antaranya adalah penyediaan waktu taman asuhan kanak-kanak (taska) percuma untuk kanak-kanak yang masih kecil, pengenalan skim Penjagaan Anak Bebas Cukai dan skim Manfaat Anak.