“Berhentilah Zahid, demi bangsa melayu”, kata UMNO Paya Besar

Semakin ramai akar umbi Umno mula berani mendesaj supaya Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan sebagai presiden parti.

Jika sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Pontian, Helmi Buang, Ketua Pemuda Umno Seremban, Zool Amali Hussin dan beberapa yang lain mahu Ahmad Zahid berehat secara terhormat, kali ini, Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Ahmad Tajuddin Sulaiman juga meluahkan saranan yang sama.

Portal Berita Harian Online memetiknya sebagai berkata, kemelut pimpinan tertinggi Umno, khususnya ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan ahli parlimen sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan Perhimpunan Agung Umnno 2018 berlarutan tanpa penyelesaian.

“Tindak tanduk ahli MKT dan ahli parlimen yang tidak terarah mendedahkan Umno kepada kehilangan keyakinan orang Melayu yang sangat diperlukan bagi menghadapi PRU-15.

“Arah tuju yang tidak jelas berserta lemah ketegasan tindakan membawa kesan kepada daya juang dan kesungguhan 3.6 juta ahli Umno,” katanya.

Dia juga dipetik sebagai berkata, kesan langsung pendakwaan salah laku terhadap pimpinan Umno membawa beban berat kebangkitan semula parti Melayu itu.

Katanya, ahli parti tidak dapat melihat dengan jelas kewajaran mendukung pemimpin yang dipecat oleh ahli MKT sendiri.

“Penolakan kerjasama dengan Bersatu oleh Umno bahagian jelas memperlihatkan ketegasan penolakan ahli Umno terhadap pimpinan kerajaan Bersatu.

“Oleh itu, demi bangsa Melayu, Umno, kesetiaan dan kegigihan 3.6 juta ahli parti, Datuk Seri (Ahmad Zahid) wajar melepaskan tanggungjawab sebagai presiden Umno,” katanya.

Ahmad Zahid pada 2018 pernah “bercuti” dan menyerahkan tugasnya, termasuk termasuk jawatan pengerusi BN, kepada timbalannya Mohamad Hasan.

Ia susulan tindakan beberapa anggota parlimen Umno keluar parti serta kritikan bahawa Umno tiada hala tuju di bawah pimpinannya.

Selepas setahun, Ahmad Zahid bagaimanapun kembali memegang jawatan itu.

sumber: MK