Tertinggal kad Touch ‘n Go?, sekarang anda dah boleh bayar tol guna kad bank. Pengguna di sejumlah 12 lebuh raya terpilih di negara ini boleh membayar tol dengan kad bank sekiranya melintasi laluan yang ada tertera logo MyDebit dan Visa.
Inisiatif itu juga bakal menyaksikan pemegang kad debit atau kredit dapat melaksanakan pembayaran jika tiada membawa bersama mereka kad Touch ‘n Go, Smart Tag dan RFID.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, buat permulaan, langkah ini hanya terpakai kepada kenderaan kelas satu iaitu kereta persendirian.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, kaedah itu telah pun disediakan di kesemua 25 lorong Touch ‘n Go di plaza tol lebuhraya MEX, Salak Selatan dan Seri Kembangan.
Kerajaan berharap, 12 syarikat pemegang konsesi yang terlibat dengan projek perintis itu dapat melaksanakan SPT mulai bulan depan kerana ia terbukti memudahkan pengguna jika terlupa untuk tambah nilai baki selain isu keciciran kad Touch ‘n Go atau RFID.
Setakat ini, beliau berpuas hati dengan proses pengujian SPT di seluruh negara yang turut melibatkan kerjasama pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bermula bulan lepas.
Sistem kutipan tol berkenaan ujarnya, bukan perkara baharu malah telah dilaksanakan dengan baik di kebanyakan negara Asia lain seperti di Indonesia, Thailand dan Filipina.
Baca juga: Guna asam jawa biar darah dan lendir senang tercabut, lelaki ini tunjuk cara bersihkan uri dan tanam