Berjalan dengan badan terbakar: Jangan rakam saja, keluar dari kereta, bantulah…

Rakam video kebakaran sebuah kereta di Jalan Syed Omar, Kampung Syed Omar, Kangar Perlis malam tadi yang dikongsikan Kosmo Online mengundang reaksi warganet.

Orang ramai mempersoal tindakan perakam video yang dilihat tidak segera membantu mangsa kemalangan yang sedang berjalan dengan tubuhnya dijilat api.

Video yang diberi kredit atas nama Bravo Hairi berdurasi 25 saat itu menunjukkan sebuah kereta sedang marak terbakar.

Dalam masa sama, kelihatan seorang mangsa dengan tubuhnya juga sedang terbakar perlahan-lahan berjalan ke arah perakam yang berada dalam kenderaan.

Walau bagaimanapun, si perakam dilihat mengundurkan keretanya sambil meneruskan rakaman.

Lelaki yang melecur di tubuh dipakaikan kain pelikat

Rata-rata netizen berpendapat orang yang merakam kemalangan itu sepatutnya keluar dari kereta dan segera membantu mangsa termasuk dengan memintanya berguling di atas tanah bagi memadamkan api di tubuh.

“Kalau tidak minta dia berguling-guling. Dia dah blur, terkejut semua, tidak berdaya. Budaya apakah yang kita ada sekarang ini, merakam lebih penting,” kata Sofie Din.

Pandangan sama juga disuarakan Sarah Nilda yang menulis, “Yang tukang rakam ni steady saja rakam tanpa fikir setiap saat amat berharga. Rakaman lagi penting dari nyawa orang tu.”

Sementara itu, Utusan Online melaporkan kejadian itu melibatkan kereta jenis Perodua Alza dan mangsa merupakan seorang lelaki.

Pihak bomba dikatakan menerima panggilan kecemasan pada jam 8.49 malam tadi manakala Balai Bomba dan Penyelamat Kangar telah bergegas ke lokasi kejadian.

Kereta tersebut dilaporkan telah terbakar hampir 90 peratus manakala mangsa pula terbakar hampir 80 peratus dan berjaya dikeluarkan orang awam.

COMMENTS