Berlian paling jarang dijumpai di dunia, Bleu Royal dilelong hingga RM236.47 juta

Berlian biru terbesar yang dikenali sebagai Bleu Royal dijangka akan dilelong hingga AS$50 juta (sekitar RM236.47 juta) dalam sebuah acara penjualan permata langka di Geneva pada 7 November ini.

Bleu Royal yang telah dijadikan sebagai cincin adalah salah satu barang perhiasan yang paling jarang ditemui dan akan dilelong oleh syarikat lelongan Christie.

Ketua Jabatan Barang Kemas Antarabangsa Christie, Rahul Kadakia, mengatakan bahawa yang menjadikan Bleu Royal istimewa adalah saiznya.

“Bleu Royal adalah berlian 17.6 karat dan ia yang terbesar daripada jenisnya.

“Warnanya sangat asli dan ia sempurna seadanya,” katanya yang dilapor CNN.

Pada tahun 2016, Christie telah menjual berlian biru 14.6 karat yang jarang ditemui dikenali sebagai Oppenheimer Blue dengan harga lebih daripada AS$57 juta (kira-kira RM269.58 juta).

“Kami berharap ia (Bleu Royal) akan menewaskan Oppenheimer,” katanya.

Dalam lelongan yang berasingan, Christie juga akan menawarkan rantai mutiara yang pernah dipakai oleh ikon fesyen dan filem, Audrey Hepburn, dalam filem Roman Holiday pada tahun 1953.

Katanya, lelongan rantai itu diletakkan pada harga antara AS$20,000 ke AS$30,000 (RM95,000 hingga RM141,000) yang disifatkan berpatutan dan “semua orang boleh menjadi Audrey Hepburn.”

Selain itu, perhiasan lain yang akan dilelong adalah jam tangan Rolex yang dipakai oleh Marlon Brando dalam filem Apocalypse Now pada tahun 1979, di mana tandatangan pelakon itu diukir di belakang jam tersebut.

Baca juga: Lain macam! Wanita ini ajar cara goreng keropok ikan guna garam, netizen siap tanya tak masin ke..