Bermasam muka sampai merajuk pasal giliran pulang beraya? ‘Kacang’ saja nak urus bagi suami beristeri 3 ini

Tak perlu bermasam muka sampai merajuk pasal giliran pulang beraya. Seorang suami yang beristeri 3 ‘kacang’ saja urus hal tersebut.

Mohd Safuan Abd Rahman yang juga bapa kepada 9 anak itu memberitahu, ketiga-tiga isterinya berasal dari tempat berbeza.

Isteri pertamanya, Siti Nur ‘Aisyah Adris, 37, dari Senawang, Negeri Sembilan; kedua, Nur Izyan Liyana Jamaludin, 37, dari Bangi dan ketiga, Nurnajiha Khalidi, 27, pula dari Muar, Johor.

Oleh sebab itu, katanya, untuk berlaku adil, malam raya dan raya pertama mereka semua akan ke rumah keluarga beliau di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Raya kedua dan seterusnya ikut giliran mengikut urutan isteri.

“Setakat ini, semua isteri faham dan terima, cuma mereka memang pulang beraya di rumah masing-masing dan tak ada ziarah kampung satu sama lain,” jelasnya, dipetik Harian Metro.

Safuan kini menantikan kelahiran anak seterusnya daripada isteri ketiganya yang sedang hamil lapan bulan.

Dia bersyukur rumah tangganya harmoni walaupun mengakui bukan mudah isteri hendak terima kehidupan berpoligami pada awalnya.

“Itu normal namun lama-kelamaan keadaan bertambah baik,” katanya yang merupakan ketua kumpulan jualan sebuah syarikat hartanah.

Beliau yang turut mengakui pendapatannya mencukupi walaupun ahli keluarganya ramai memberitahu akan membawa isteri dan anak-anaknya bercuti pada hujung tahun.

“Sebagai suami dan bapa, saya cuba bahagiakan mereka malah akan bawa semua berjalan pada hujung tahun.

“Tapi disebabkan kami ramai jadi tak boleh naik satu kereta tetapi dua atau tiga mengikut kesesuaian,” katanya lagi yang tinggal di Seksyen 4, Bangi itu.

BACA JUGA Gara-gara Diva AA berjoget dangdut, peniaga menangis, YB Kedah tergamak arah peniaga tutup kedai