“Bersatu perlu diberi ruang untuk bertanding di Kelantan”-Bersatu

Parti Bersatu Kelantan bersetuju PAS diberi majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi di negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengerusi Bersatu Kelantan Datuk Kamaruddin Md Nor berkata perkara itu wajar memandangkan PAS telah lama memerintah negeri tersebut.

“Di samping itu, Bersatu juga perlu diberi peluang bertanding beberapa kerusi di Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas menutup Mini Karnival Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Selising, di Pair Puteh hari ini.

Kamaruddin berkata langkah itu bagi membolehkan Bersatu memberi sumbangan yang lebih bermakna terhadap pembangunan Kelantan.

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata pengagihan kerusi bagi menghadapi PRU15 telah hampir selesai dengan majoriti kerusi di Kedah, Terengganu dan Kelantan akan ditandingi parti itu.

Untuk rekod, PAS dan Umno membentuk kerjasama politik di bawah Muafakat Nasional yang kini turut disertai Bersatu.

– Bernama