Bertahun tidur asing dengan isteri, Ustaz Kazim Elias nafi tolak perubatan moden

Kerana tidak dapat melelapkan mata pada waktu malam, pendakwah bebas Ustaz Datuk Mohammad Kazim Elias mendedahkan dia dan isteri terpaksa tidur berasingan.

Menurutnya, dia terpaksa melakukan sedemikian kerana tidak mahu menganggu waktu tidur isterinya.

“Saya reda dan terima hakikat Allah tak bagi saya tidur, jadi saya ganti sahaja dengan amalan yang lain.

“Sehinggakan saya dan isteri tidur bilik berasingan, sebab kalau tidur sekali, dia takkan boleh tidur sebab saya bangun buat kerja rumah macam mop lantai, sapu sampah dan lain-lain.

“Isteri dan anak-anak pun dah faham, saya reda je, janji boleh buat kerja, syukur saya tak ada masalah mengantuk dan penat untuk mengajar di sekolah keesokan harinya,” katanya.

Kazim, 52 turut pernah berkongsi kisah disihir sebelum ini dan menolak dakwaan segelintir masyarakat yang mendakwa dirinya tidak mahu mendapatkan rawatan moden.

Sebaliknya penceramah itu sudah memberitahu sudah menghabiskan ratusan ribu ringgit di hospital sebagai ikhtiar untuk merawat kesakitan yang dialaminya itu.

“Saya punya pemikiran setiap kali saya sakit, saya dapat rezeki lain, jadi buat apa saya nak kisah… terbaharu dapat pula tawaran watak utama dalam sebuah filem.

“Semua penyakit saya rujuk hospital. Sakit kulit saya lalui sebelum ini, saya jumpa 15 pakar sampaikan doktor pun ambil daging saya untuk periksa penyakit itu tapi keputusannya negatif.

“Selepas negatif baru saya ikhtiar cara lain, saya tak pernah menolak perubatan moden seperti dakwaan masyarakat. Banyak sudah saya habiskan untuk berubat, rasanya sehingga ratusan ribu ringgit,” ujarnya.

Baca juga: Ingatkan cuma hiasan, ini rupanya sebab wajib ada lubang kecil di biskut..kalau tak ada tak jadi!