Bicara 1MDB : Pendakwa bidas Najib kaitkan Zeti dalam perbicaraan

Najib Razak yang dibicarakan dalam kes rasuah dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, bukannya bekas gabenor Bank Negara Zeti Aziz, kata pihak pendakwaan hari ini.

Timbalan pendakwa raya (DPP) Gopal Sri Ram berkata demikian ketika pendengaran permohonan Najib untuk mendapatkan antaranya dokumen perbankan melibatkan keluarga Zeti, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Dalam permohonan itu, pasukan peguam Najib menuntut dokumen yang didakwa menunjukkan yang keluarga Zeti menerima wang daripada ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Sri Ram berkata, permohonan itu bersifat pramatang memandangkan mahkamah hanya dapat menentukan kewibawaan mana-mana saksi pendakwaan selepas mendegar keterangan mereka ketika perbicaraan.

“Pendakwaan utama menyatakan tertuduh (Najib) menyalahgunakan kedudukan untuk menerima manfaat kewangan.

“Pertamanya, berkaitan permohonan (tuntutan dokumen), Zeti tidak dibicarakan.

“Kedua, setakat mana (mahkamah) menanggapi (keterangan) bukti Zeti, ia bergantung kepada Yang Arif (hakim Collin Lawrence Sequerah) untuk menentukannya selepas mendengarnya (ketika perbicaraan).

“Yang Arif tidak boleh membuat dapatan sementara berkenaan kewibawaan (Zeti atau saksi pendakwaan lain) dalam perbicaraan jenayah sekarang.

“Mahkamah perlu melihat bukti secara keseluruhan (selepas saksi memberi keterangan kepada pendakwa atau diperiksa balas pihak pembelaan).

“Ini bukan peringkat untuk memutuskan kewibawaan saksi. Apa yang didakwa diterima keluarga Zeti tidak relevan langsung dengan sama ada tertuduh (Najib) menyalahgunakan kuasa atau tidak,” hujah Sri Ram.

Najib berdepan empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Zeti termasuk dalam senarai saksi yang ingin dipanggil pendakwaan.

Selain dokumen berkaitan keluarga Zeti, pendengaran hari ini juga berhubung permohonan menuntut antaranya dokumen mahkamah Amerika Syarikat berkaitan laporan forensik terhadap telefon bekas pegawai Goldman Sachs, Tim Leissner.

Terdahulu, Leissner mengaku bersalah di mahkamah Amerika Syarikat dalam satu kes berkaitan 1MDB. Dalam pengakuannya, dia mendakwa telah memberi suapan antaranya kepada pegawai 1MDB.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/576894