Sejumlah 263 beg tangan berjenama yang dirampas ketika siasatan kes 1MDB adalah “hadiah” kepada Rosmah Mansor dan anak perempuannya, menurut peguam kedua-duanya Iskandar Shah Ibrahim.
Dia berkata demikian ketika pendengaran saman yang difailkan kerajaan untuk melucut hak wang tunai dan aset – termasuk beg tangan tersebut – yang dikaitkan dengan 1MDB, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Selain Rosmah dan anaknya Nooryana Najwa Najib, saman turut difailkan kepada suaminya, iaitu bekas perdana menteri Najib Razak dan 15 responden lain.
Rosmah dan Nooryana Memohon mahkamah mengetepikan saman yang dibuat kerajaan itu.
Menurut Iskandar, kedua-duanya dalam afidavit telah menegaskan bahawa beg tangan tersebut adalah hadiah kepada mereka, atas kapasiti sebagai isteri dan anak kepada perdana menteri Malaysia ketika itu.
Dia berkata pendakwaan gagal menunjukkan kaitan antara barangan tersebut dengan dana 1MDB memandangkan pegawai penyiasat dalam kes 1MDB pun mengakui sebahagian barangan yang dirampas adalah hadiah.
Dia merujuk afidavit pegawai penyiasat PDRM Superintenden Foo Wei Min yang mana pendakwaan menggunakan dapatan dan testimoninya dalam sejumlah kes mahkamah berkaitan 1MDB.
Pendakwaan gagal mengaitkan sebarang dakwaan penyelewengan dana daripada 1MDB dengan pembelian beg tangan tersebut, katanya lagi.
“Terutama beg-beg jenama Hermse yang tidak dapat dikesan dibeli (dengan dana 1MDB). Ini beg yang tidak dapat dibeli di kedai biasa.
Nooryana Najwa Najib
“Pada keseimbangan kemungkinan (balance of probabilities), ketika Foo berkata siasatan mendapati beg tangan yang dirampas diterima sebagai hadiah, dan responden kedua (Rosmah) juga berkata perkara sama, maka dia telah memberi jawapan kepada pemohon (pendakwaan),” kata Iskandar.
Dia juga berkata, munasabah jika Nooryana mampu membeli sebahagian beg tersebut memandangkan dia ada punca pendapatan ketika bekerja di United Kingdom dan Hong Kong sebelum ini.
Katanya lagi, sebahagian beg yang dirampas juga adalah hadiah perkahwinan daripada mentuanya dari Kazakhstan.
“Keterangan (antaranya daripada afidavit Nooryana) adalah asas untuk menunjukkan responden kelima (Nooryana) mampu membeli beg-beg tangan tersebut.
“(Beg tangan) Hermes adalah bahagian utama dalam hadiah pertunangan dan perkahwinan, bukan saja daripada ibu mentuanya,” kata Iskandar.
Sementara itu, berkaitan penghujahan untuk seorang lagi responden, anak lelaki Najib iaitu Nor Ashman, peguamnya Azamuddin Aziz berkata jam tangan yang dirampas adalah hadiah kepada anak guamnya.
Azamuddin juga berkata pendakwaan gagal menunjukkan kaitan jam-jam itu dengan 1MDB, kerana Nor Ashman dalam afidavitnya telah mengatakan jam tersebut adalah hadiah daripada Najib dan seorang kawan.
Pendengaran di depan hakim Mohd Zaini Mazlan bersambung pada 18 Jun ini, dengan pihak pendakwaan dijangka memberi hujahan balasnya.
sumber : https://www.malaysiakini.com/news/573750