Penggunaan elektrik yang tidak dikawal dan kurang efektif boleh menyebabkan berlakunya pembaziran. Tetapi, dengan kaedah yang betul, anda boleh mengurangkan bil utiliti anda serta menjimatkan duit. Di sini saya kongsikan 10 cara untuk menjimatkan elektrik di rumah dengan mudah dan berkesan.
Elektrik merupakan sejenis sumber tenaga sekunder yang diperolehi melalui proses penukaran pelbagai jenis sumber tenaga lain. Sebagai contoh, air, matahari, angin, biojisim, bahan api fosil dan lain-lain. Di Malaysia, sumber utama tenaga elektrik dihasilkan menggunakan empangan hidroelektrik.
Secara asasnya, tenaga elektrik diukur menggunakan unit yang dipanggil Watts, yang dinamakan sempena nama James Watts, pencipta enjin stim yang pertama. Di Malaysia, tarif elektrik dikira menggunakan blok-blok Kilowatt-hour (kWh) yang tertentu berdasarkan penggunaan.
1. Matikan Peralatan Yang Tidak Digunakan
Cara yang paling asas untuk menjimatkan elektrik di rumah anda adalah dengan mematikan peralatan yang tidak anda gunakan. Sebagai contoh, mematikan kipas dan lampu apabila anda keluar dari bilik atau penapis air sewaktu anda berada di luar rumah.
Selain dari itu, jangan lupa juga untuk mematikan suis pengecas telefon dan powerbank anda sebaik sahaja ia penuh. Kerana, mengecas secara berlebihan bukan sahaja membazirkan tenaga elektrik malah boleh mengurangkan jangka hayat bateri dan peranti anda.
Anda juga disyorkan untuk turut mencabut palam elektrik (plug) yang tidak digunakan. Walaupun amalan ini tidak membantu menjimatkan elektrik, tetapi ia membantu melindungi peralatan elektrik anda sekiranya terjadi litar pintas atau serangan kilat secara tiba-tiba.
2. Gunakan Mentol Lampu Yang Menjimatkan Tenaga
Cara kedua yang anda boleh gunakan untuk menjimatkan elektrik adalah dengan menggunakan mentol lampu yang menjimatkan tenaga (energy saving bulb). Pada masa sekarang, terdapat empat jenis yang biasa digunakan iaitu lampu pijar, lampu halogen, lampu pendarfluor dan lampu diod pemancar cahaya (LED).
Di antara empat jenis lampu ini, lampu pendarfluor dan lampu diod pemancar cahaya (LED) merupakan pilihan lampu terbaik yang anda boleh gunakan di kediaman anda. Ia bukan sahaja kurang panas malah boleh menjimatkan penggunaan elektrik anda sekitar 25-35 peratus.
3. Bertukar Kepada Peralatan Yang Menjimatkan Tenaga
Selain dari cara di atas, anda juga boleh mengurangkan bil elektrik anda dengan menggunakan peralatan yang menjimatkan tenaga. Suruhanjaya Tenaga di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli telah mewujudkan inisiatif bagi membantu rakyat Malaysia membuat pilihan yang lebih bijak.
Di mana pelbagai barangan elektrik diuji, dinilai dan diberi skor berdasarkan penggunaan tenaganya mengikut kriteria Standard Prestasi Tenaga Minimum (MEPS). Produk-produk ini kemudiannya dilabel menggunakan Label Cekap Tenaga dengan nilai maksima sebanyak lima bintang.
Ini bererti semakin banyak bintang pada labelnya, maka semakin jimatlah tenaga elektrik yang digunakan. Jadi, pastikan anda memilih peralatan yang mempunyai lebih banyak bintang sewaktu membeli barangan elektrik untuk rumah anda.
4. Bersihkan Kipas Dan Penapis Udara
Tahukah anda bahawa kipas dan penapis udara yang dipenuhi habuk menggunakan lebih banyak tenaga? Ya, kipas yang dipenuhi habuk dengan kelajuan tiga mengeluarkan kadar angin yang hampir sama dengan kipas bersih dengan kelajuan satu.
Begitu juga dengan penapis yang digunakan pada penyaman (air conditioner) dan pembersih (air purifier) udara. Penapis yang kotor bukan sahaja menyebabkan penyaman dan pembersih udara anda menggunakan tenaga yang berlebihan malah turut membuatkannya kurang sejuk dan kurang bersih.
Jadi, jangan lupa membersihkan bilah kipas dan penapis udara anda dari semasa ke semasa.
5. Kawal Penggunaan Alatan Pemanas
Peralatan yang menggunakan pemanas merupakan penyumbang terbesar kepada kenaikan kadar bil elektrik rumah anda. Antaranya adalah seterika, pemanas air, pembakar roti, cerek dan dapur elektrik, oven, serta ketuhar gelombang mikro.
Sebagai contoh, sebuah seterika biasanya mengambil masa dua hingga lima minit sebelum anda boleh mula menggunakannya. Dan setiap kali proses pemanasan seterika bermula, ia menggunakan tenaga elektrik yang sangat banyak sehingga ia mencapai tahap kepanasan yang telah ditetapkan.
Jadi, untuk mengelakkan pembaziran berlaku, anda disarankan untuk menetapkan jadual tertentu supaya anda boleh menyeterika ke semua pakaian anda sekaligus. Ini dapat mengelakkan proses pemanasan seterika yang berulang kali dan dalam masa yang sama dapat menjimatkan elektrik anda.
6. Kawal Penggunaan Penyaman Udara
Seperti alatan pemanas yang disebutkan di atas, penyaman udara juga merupakan antara peralatan yang meningkatkan bil elektrik anda. Jadi, untuk penggunaan yang optimum, sila gunakan penyaman udara yang mempunyai kapasiti yang bersesuaian dengan ukuran ruang bilik anda.
Elakkan dari menetapkan suhu yang terlalu rendah dari yang diperlukan kerana ia akan menyebabkan penyaman udara anda menggunakan tenaga yang berlebihan. Elakkan juga dari membuka pintu dan tingkap terlalu kerap kerana ia akan menyebabkan udara sejuk penyaman anda keluar dari bilik.
Selain dari itu, sila buat pemeriksaan ke atas penebat pada saluran HVAC luaran secara berkala. Ini adalah kerana penebat ini boleh rosak dan hilang keberkesanannya disebabkan oleh peredaran masa, cuaca, sinaran UV dan juga pemasangan yang tidak sempurna.
Penebat yang hilang keupayaannya akan menggunakan lebih banyak tenaga untuk mengekalkan tahap keselesaan dalaman yang anda inginkan. Dan, seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, jangan lupa juga untuk membersihkan penapis penyaman udara anda dari semasa ke semasa.
7. Gunakan Suis Automatik Atau Pemasa
Salah satu cara yang efektif untuk menjimatkan elektrik di rumah anda adalah dengan menggunakan suis automatik atau suis pemasa. Alatan tambahan seperti ini sangat mudah untuk dipasang dan boleh didapati dengan harga yang berpatutan.
Sebagai contoh, anda boleh memasang lampu yang menggunakan suis automatik dengan pengesan pergerakan di tempat tertentu seperti bilik mandi atau dapur. Ini akan membuatkan lampu tersebut hanya akan menyala apabila anda masuk dan padam secara automatik apabila anda keluar.
Selain dari itu, anda juga boleh menggunakan suis pemasa untuk peralatan elektrik lain seperti kipas dan penyaman udara. Di mana peralatan ini akan dinyalakan dan dipadamkan secara berkala mengikut masa tertentu yang telah anda tetapkan.
8. Elakkan Mencuci Separuh Muatan
Setiap mesin basuh didatangkan dengan kapasiti mengikut berat yang tertentu. Tetapi ada di antara kita yang gemar mengasingkan pakaian putih dan berwarna dan mencucinya secara berasingan. Ini akan menjadikan penggunaannya tidak efisyen serta menyebabkan berlakunya pembaziran.
Sekiranya anda ingin mencuci pakaian putih dan berwarna secara berasingan, pastikan ianya cukup muatan sebelum anda memulakan cucian. Atau, anda boleh menetapkan hari yang berbeza untuk membuat cucian putih dan berwarna secara berselang seli.
9. Gunakan Cahaya Semulajadi
Cahaya semulajadi membantu menerangi kediaman anda tanpa sebarang kos tambahan. Hanya bukakan langsir dan biarkan cahaya tersebut masuk dan menyegarkan rumah anda. Ini semestinya dapat mengurangkan penggunaan lampu dan kipas pada waktu siang serta menjimatkan elektrik.
Teknik pencahayaan yang baik juga membantu menjadikan ruang yang kecil dan sempit menjadi luas. Tetapi, sekiranya cahaya tersebut terlalu terang, anda boleh memasang tirai pada tingkap (windows shade) untuk mengawal kemasukan cahaya ke rumah anda.
Anda mungkin berminat membaca 5 tips untuk membuatkan rumah anda kelihatan lebih luas.
10. Gunakan Tenaga Solar
Tenaga solar merupakan sumber tenaga yang diperolehi daripada cahaya matahari. Ia adalah pilihan yang selamat, murah dan lebih mesra dengan alam sekitar. Tambahan pula, kini teknologi solar merupakan teknologi yang mampu dimiliki oleh semua orang.
Anda mungkin tidak dapat mengubah seluruh rumah anda untuk menggunakan 100% tenaga solar, tetapi terdapat pelbagai cara lain yang anda boleh gunakan dalam kediaman anda. Sebagai contoh, anda boleh menggunakan lampu berkuasa solar untuk pagar dan kawasan halaman sekitar rumah anda.
Selain itu, anda juga boleh memasang panel solar dan menggunakannya pada peralatan elektrik yang lain atau menyimpan tenaganya ke dalam bateri untuk digunakan kemudian. Dan cara ini telah terbukti sebagai salah satu cara yang berkesan untuk menjimatkan elektrik.