Majoriti anggota skuad Melaka United musim lalu kini menjadi buruan bank selepas hampir tiga bulan tidak menerima sebarang gaji sejak Oktober tahun lalu.
Dipetik dari HMetro, Mungkin ia agak mengejutkan, namun itulah senario sebenar dalam kem Melaka United ketika ini apabila ramai pemain skuad yang mara hingga ke separuh akhir Piala Malaysia musim lalu itu diburu pihak bank ekoran kegagalan menjelaskan komitmen bulanan.
Antara mangsa penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat apabila perbualannya di laman sosial menjadi viral dengan beliau mengakui diburu pihak bank selepas tidak dibayar gaji sejak beberapa bulan lalu.
“Ini pun sampai tiga bulan kita orang diam tau. Sebab nak jaga kan team. Tapi dah lama sangat kita orang pun ‘tension’ bank dok call hari-hari, anak bini nak makan,” tulisnya.
Situasi sama turut dikongsikan seorang lagi pemain Melaka United yang enggan dikenali kepada Arena Metro apabila mengesahkan situasi berkenaan.
Katanya, pengurusan kelab berjanji menyelesaikan tunggakan gaji pada awal Disember lalu, namun sehingga kini janji tinggal janji.
“Pengurusan kelab kata nak bayar pada awal Disember. Kami tunggu, tapi habuk pun tak ada. Lepas itu mereka janji lagi, kata nak masuk pertengahan bulan lepas, pun sama tak ada juga.
“Sehinggalah tahun baru dah masuk ini, sama juga gaji kami tetap tak masuk. Kami dah tak boleh sabar, kesian dekat keluarga kami yang perlu diberikan makan dan minum.
“Itu belum lagi kira bayaran komitmen rumah dan kereta…sekarang ini bank asyik call tanya bila nak bayar. Kami harap sangat pihak kelab segera selesaikan tunggakan kerana kami perlukan gaji kami,” kata pemain itu.
Untuk rekod, skuad Hang Tuah yang dibimbing Zainal Abidin Hassan mengharungi kempen Liga Malaysia dengan cukup baik sepanjang musim lalu.
Kemuncaknya dalam saingan Piala Malaysia apabila Melaka United berjaya mara hingga ke separuh akhir Piala Malaysia pada Oktober lalu yang menyaksikan pasukan itu berjuang hingga ke penentuan sepakan penalti sebelum tewas 3-5 di tangan Kuala Lumpur City FC.