Blog Pro Azmin dakwa pakatan Anwar-Zahid-Najib rancang kudeta di era pandemik

Dalam beberapa hari ini, rundingan baru antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan sekumpulan ahli Parlimen Umno diketuai Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak mula dijalankan bagi mencapai persetujuan untuk menubuhkan sebuah pakatan yang akan dimeterai antara dua parti itu sedikit masa lagi selepas lama tertangguh, MalaysiaNow difahamkan.

Seorang pembantu kanan pemimpin utama Umno berkata perancangan mereka ketika ini yang sepatutnya dilaksanakan pada Oktober lalu – sewaktu Zahid dan Najib menulis sepucuk surat kepada istana menyatakan sokongan mereka kepada Anwar sebagai perdana menteri mendapat “nyawa yang baru” susulan dua kenyataan Raja-Raja Melayu semalam.

“Beberapa perbincangan mula dibincangkan pada tahap yang lebih serius malam semalam,” kata sumber kepada MalaysiaNow dengan tegas tidak mahu dinamakan.

“Dan hakikat di mana kali ini Agong tidak menyebut sebarang peringatan kepada ahli-ahli politik menolak sebarang gangguan terhadap kestabilan kerajaan ketika ini menjadi satu pemangkin kepada usaha mereka.”

Ketika dihubungi, sekurang-kurangnya dua ahli Parlimen kanan PKR mengesahkan rancangan tersebut, sementara seorang lagi ahli Parlimen berkata rundingan-rundingan tersebut turut membincangkan bagaimana untuk “menjinakkan” DAP.

“Mereka sedar tanpa sokongan DAP, tak ada jalan sebarang majoriti dapat dikumpulkan bagi menentang kerajaan Perikatan Nasional,” kata ahli Parlimen itu.

Ketika ditanya sama ada sebarang percubaan sedemikian boleh dilaksanakan ketika Parlimen masih ditangguhkan, ahli Parlimen PKR itu berkata penasihat kanan Anwar yakin wujud “jalan-jalan alternatif” bagi menggulingkan kerajaan.

“Tidak ada seorang pun kecuali orang-orang dalaman Datuk Seri ada akses terhadap persetujuan bersama antara Anwar dan Zahid,” katanya.

Raja-Raja Melayu selepas mesyuarat khas semalam mengeluarkan kenyataan yang menggesa Parlimen bersidang “secepat mungkin”, sehari selepas Muhyiddin membentangkan Pelan Pemulihan Negara yang menyasarkan pembukaan semula Parlimen pada September atau Oktober depan tertakluk kepada situasi kesihatan awam negara

sumber : https://www.malaysianow.com/berita/2021/06/17/selepas-kenyataan-raja-raja-melayu-anwar-zahid-najib-rancang-kudeta-di-era-pandemik/