Blog Pro-Azmin dedah ahli perniagaan rapat dengan Anwar dapat projek berbillion

Seorang ahli perniagaan Malaysia yang rapat dengan beberapa ahli politik tempatan telah memperolehi sebahagian besar kontrak berbilion dolar daripada kerajaan Hungary bagi membekalkan peralatan perubatan, MalaysiaNow difahamkan.

Vinod Sekhar, yang memiliki rangkaian syarikat dan organisasi di bawah Petra Group, menerima kontrak bernilai kira-kira RM2.5 bilion bagi membekalkan alat bantuan pernafasan kepada kerajaan Hungary.

Kontrak oleh negara Eropah timur itu dalam bentuk pelbagai pembelian peralatan bernilai bilion dolar yang dimeterai pada peringkat awal krisis Covid-19.

Dalam salah satu dokumen kontrak yang dilihat MalaysiaNow, Vinod dinamakan sebagai wakil GR Technologies Sdn Bhd, sebuah syarikat yang beralamat di Bangsar, Kuala Lumpur.

Ia menunjukkan persetujuan kerajaan Hungary untuk membayar sejumlah AS$559,600,000, atau bersamaan RM2.4 bilion berdasarkan kadar tukaran wang pada tarikh kontrak itu tahun lalu.

Perjanjian bertarikh 21 Mei 2020 itu ditandatangani oleh menteri kanan Csaba Balogh, yang mewakili Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan Hungary.

Ketika dihubungi, seorang jurucakap di GR Technologies mengesahkan perjanjian itu, namun tidak dapat memberikan butiran lanjut.

Sementara pesanan teks dan panggilan MalaysiaNow kepada Vinod masih tidak terjawab.

Vinod, 52, anak mendiang BC Sekhar, iaitu tokoh yang memainkan peranan penting dalam memodenkan industri getah Malaysia, pernah diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi pada 2005, namun dibebaskan daripada status muflis tahun lalu.

Pembelian besar-besaran penuh kontroversi

Kontrak yang dianugerahkan kepada Vinod untuk membekalkan alat bantuan pernafasan itu hanya salah satu daripada pembelian besar-besaran oleh kerajaan Hungary tahun lalu, dengan alasan sebagai persediaan menghadapi wabak Covid-19.

Budapest turut menandatangani pelbagai perjanjian lain dengan pembekal tempatan dan asing, dalam apa yang disifatkan sebagai pembelian peralatan perubatan terbesar oleh sebuah negara anggota Kesatuan Eropah.

Pembelian besar-besaran itu dikritik hebat oleh ahli politik pembangkang Hungary yang mempersoalkan ketelusan perjanjian pembelian, di samping harga terlalu mahal dan lebihan bekalan.

Antara yang mengkritik pembelian tersebut adalah Vadai Ágnes, seorang ahli parlimen pembangkang, yang menuntut siasatan dijalankan terhadap mereka yang terlibat dalam pembelian tersebut.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Agnes berkata aduan beliau itu ditolak oleh pendakwa raya negara itu.

“Hal ini tidak mengejutkan saya kerana perkara seperti ini memang prosedur biasa di Hungary selama beberapa tahun,” kata Agnes.

“Pendakwa raya negara yang pernah menjadi calon parti kerajaan sekarang menyerahkan aduan saya kepada polis, dan polis pula enggan menjalankan siasatan bagi kes yang melibatkan orang kerajaan,” kata Agnes yang merupakan ahli parlimen mewakili Gabungan Demokratik.

Agnes menjelaskan bantahannya terhadap kontrak pembekalan peralatan perubatan oleh kerajaannya.

“Sebagai contoh, Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan telah membeli sebuah alat bantuan pernafasan dengan harga purata sebanyak 19.8 juta forints (RM270,000), sedangkan Pusat Perkhidmatan Kesihatan Nasional membeli sebuah alatan itu dengan harga purata sebanyak 10.8 juta forints (RM147,000). Tidak ada penjelasan mengenai perbezaan harga itu daripada kerajaan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Aktivis pembangkang Katalin Boldis turut bersetuju pembelian alat bantuan pernafasan oleh Hungary dilakukan dengan “cara yang sangat mencurigakan”.

“Pembelian jumlah besar unit alatan itu tidak dapat dijelaskan, selain kualitinya yang rendah, harga yang terlalu mahal dan tiada butiran yang jelas,” Boldis memberitahu MalaysiaNow.

Kematian pesakit alat bantuan pernafasan

Sekitar tempoh yang sama kerajaan Hungary dikritik atas siri pembelian alat pernafasan, laporan mula muncul mengenai kadar kematian tinggi melibatkan pesakit Covid-19 yang menggunakan bantuan alat pernafasan.

Ia menyebabkan Dewan Perubatan Hungary mengingatkan kerajaan pada bulan April bahawa “kematian dalam kalangan mereka yang memerlukan rawatan alat bantuan pernafasan dan intubasi adalah sangat tinggi,” sambil melahirkan kebimbangan bahawa 95% pesakit yang mendapat sokongan alat bantuan pernafasan telah meninggal dunia di beberapa hospital seluruh negara.

Majlis tersebut mendesak kerajaan untuk menyiasat sama ada alat pernafasan itu dikendalikan dengan baik atau wujud masalah melibatkan mutu peralatan.

Agnes berkata sukar untuk mengaitkan kematian itu dengan kualiti alat bantuan pernafasan yang dibeli kerajaan disebabkan kekurangan maklumat yang dibekalkan.

“Kami tidak mempunyai maklumat mengenai isu ini kerana pakar kami tidak berpeluang lihat sendiri kontrak atau alat pernafasan yang dibeli,” katanya.

Wartawan Hungary Babett Oroszi, yang pernah memenangi anugerah kewartawanan, adalah antara pengamal media yang menerima beberapa salinan kontrak tersebut dari pihak berkuasa.

Beliau bagaimanapun berkata beberapa muka surat penting tidak diberikan dalam kontrak bernilai RM2.43 bilion yang diberikan kepada GR Technologies.

“Kandungan utama kontrak terakhir bahkan tidak menyebutkan harga seunit. Ia hanya mengatakan beberapa mesin diimport dengan wang yang dinyatakan itu,” tulis Oroszi pada November tahun lalu.

Menurutnya, beberapa lampiran kontrak akan berguna dalam siasatannya.

“Namun nampaknya, kementerian alam sekitar ‘terlupa’ melampirkan dokumen itu. Sekiranya harga purata dikira, ia menunjukkan amaun yang amat tinggi: 28.1 juta forints (RM382,000) bagi setiap mesin.”

Beberapa bulan kemudian, kerajaan Hungary mengakui ia terlebih beli alat bantuan pernafasan, dan berkata sedang berusaha untuk mengurangkan lebihan tersebut dengan menjualnya ke negara lain.

Menurut Agnes, kerajaan membeli 16,000 alatan tersebut dengan harga 300 juta forints (RM4 bilion) pada pusingan pertama, iaitu lapan kali ganda lebih tinggi daripada bilangan staf terlatih yang boleh mengendalikan kelengkapan tersebut.

“Setakat 1 Jun 2020, 13,404 alat bantuan pernafasan yang dibeli masih disimpan di dua buah gudang. Sebahagiannya diberikan kepada negara asing, bakinya berada di hospital Hungary,” kata Agnes kepada MalaysiaNow.

‘Perjanjian paling buruk’

Sebuah kumpulan wartawan Hungary menyifatkan pembelian alat bantuan pernafasan oleh Budapest itu sebagai perjanjian kontrak paling buruk oleh sebuah negara anggota Kesatuan Eropah.

Menurut siasatan Direkt36, sejak Mac 2020, kerajaan Hungary telah membayar kadar harga yang tertinggi bagi satu kilogram untuk alatan bantuan pernafasan buatan China.

“Ketika koronavirus di tahap genting pada April tahun ini (2020), misalnya, Hungary membayar 10 ganda lebih banyak berbanding Itali, dan 50 kali ganda lebih banyak berbanding Jerman dalam kiraan per kilogram alat bantuan pernafasan dan peralatan lain yang berkaitan,” kata kumpulan itu dalam laporannya yang diterbitkan Ogos lalu.

Agnes yakin bekalan berlebihan itu bukan perkara yang tidak disengajakan.

“Saya yakin keseluruhan pemerolehan alat bantuan pernafasan ini adalah mencurigakan kerana kerajaan tahu jumlah pasukan perubatan yang boleh mengendalikannya, bagaimanapun, ia tetap membelinya dengan banyak.

“Apa yang menjengkelkan dalam kontrak ini adalah, lebih banyak jumlah alatan bantuan pernafasan, harga seunit alatan itu tidak menurun, malah meningkat.”

Kontroversi pembelian kerajaan itu bakal menjadi fokus kempen pilihan raya umum Hungary yang akan diadakan tahun depan.

“Sekiranya gabungan pembangkang menang, kami akan lakukan siasatan teliti terhadap semua kontrak ini, sama ada dari sudut kualiti dan kuantiti peralatan perubatan yang dibeli,” tambah Agnes.

sumber : https://www.malaysianow.com/berita/2021/06/16/ahli-perniagaan-malaysia-peroleh-bahagian-terbesar-kontrak-hungary-bernilai-berbilion-ringgit/