Boleh kerjasama tetapi sukar nak bagi kerusi kepada Pejuang – Tuan Ibrahim

Timbalan Presiden PAS hari ini membayangkan sukar untuk beri kerusi kepada parti Pejuang.

Memetik FMT, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tiada masalah untuk Perikatan Nasional (PN) bekerjasama dengan Pejuang pada PRN namun menegaskan permintaan mendapatkan kerusi tidak boleh dipenuhi kerana agihannya telah selesai.

Timbalan presiden PAS itu berkata sebaiknya Pejuang yang diketuai bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir menyokong calon PN sekiranya tidak mahu melihat undi Melayu berpecah.

Katanya seperti dipetik FMT, “Kita menyambut baik sesiapa sahaja yang ingin mengadakan kerjasama politik dengan PN bagi mempastikan kita berjaya dalam PRN ini.

“Namun soal kerusi yang akan dipertandingkan, kita telah selesai mengagihkan kerusi di kalangan PAS, Bersatu dan Gerakan (pada 26 Jun),” katanya seperti dipetik FMT.

“Sekiranya melibatkan kerusi untuk pertandingan, ia sukar dirombak,” kata Timbalan presiden PAS itu mengulas kenyataan Mukhriz semalam bahawa partinya masih berharap dapat bekerjasama dengan PN pada PRN.

Harapan itu dizahirkan Mukhriz susulan pertemuan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad dua hari lalu yang bersetuju mengukuhkan perpaduan orang Melayu serta meningkatkan sokongan kepada PN pada PRN 12 Ogos depan.

baca: Pekerja pasaraya pulangkan RM18,000 yang terjumpa dalam beg pelanggan, netizen sifatkan lelaki ini satu dalam seribu