Bolot vaksin, Kesatuan Eropah dakwa Khairy Jamaluddin menipu

Kesatuan Eropah (EU) hari ini menafikan tuduhan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick), Khairy Jamaluddin bahawa blok itu membolot vaksin Covid-19.

Menurut Khairy pada 21 Jun lalu, kerajaan tidak dapat membuka pusat pemberian vaksin (PPV) mega lebih awal bagi mempercepat pemvaksinan penduduk berikutan bekalan vaksin ketika itu tidak mencukupi.

Duta EU ke Malaysia Michalis Rokas berkata, dakwaan tersebut adalah tidak berasas sama sekali, sebaliknya berkata EU amat prihatin dalam isu berkenaan.

“Untuk makluman anda, segala permintaan daripada kerajaan Malaysia berhubung agihan vaksin ke negara ini sudah pun diluluskan tanpa masalah oleh Sekretariat EU,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Program Sokongan Respons Covid-19 Asean-EU kelolaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di negara ini, seperti dipetik Kosmo Online.

Berdasarkan laporan Bernama, Rokas dilaporkan berkata EU telah meluluskan eksport kira-kira lima juta dos vaksin Covid-19 bagi membantu Malaysia mempercepatkan Pick.

Menurutnya, jumlah sehingga 15 Jun menunjukkan sejumlah 4.87 juta dos Pfizer-BioNTech dan 560,000 dos AstraZeneca telah dihantar ke Malaysia dan ia diperolehi menerusi skim Akses Global Vaksin Covid-19 (Covax).

“Kesemua eksport yang diminta oleh Malaysia telah diluluskan segera, iaitu dalam tempoh dua ke tiga hari dan telah diberikan kelonggaran atas sebab kecemasan pandemik,” katanya.

Rokas berkata demikian, sehari selepas Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengeluarkan kenyataan membidas ketidakadilan bekalan vaksin dan tindakan negara-negara yang katanya membolot bekalan vaksin Covid-19.

Mengulas artikel ulasan Utusan Malaysia yang membandingkan program vaksinasi antara Malaysia dan Hungary, Khairy mendakwa negara-negara EU membolot bekalan vaksin, berkali ganda lebih banyak berbanding jumlah rakyat.

“Adakah anda sedar Hungary adalah sebahagian daripada EU? Dan EU telah berunding dengan pembekal vaksin secara pukal dengan kuasa pembeli EU.

“Dan juga antara kilang-kilang yang mengeluarkan vaksin berada di EU, jadi mereka telah membolot vaksin dengan lebih awal lagi.

“Sedangkan negara-negara Asia termasuklah negara Jepun – negara yang sudah maju – sangat terkebelakang berbanding dengan negara-negara EU, Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, dan sebagainya,” katanya.

Pada acara maya semalam juga, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata Malaysia akan bekerjasama dengan EU dalam bidang penyelidikan dan pembangunan.

Jelas Adham, tumpuan akan diberikan terhadap pengurusan dan tindak balas Covid-19, selain menguatkan kesiapsiagaan kecemasan dan kapasiti sistem keselamatan secara keseluruhan.

Turut hadir pada acara maya itu adalah wakil WHO di Malaysia, Brunei, dan Singapura Dr Lo Ying-Ru Jacqueline; serta pegawai teknikal dan pengurusan program, pejabat wakil WHO ke Malaysia, Brunei dan Singapura Dr Paul Soo.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/580089

COMMENTS