Laman berita Tribunnews melaporkan bahawa seorang ketua jabatan di wilayah Lampung Utara telah ditipu oleh seorang bomoh penarik wang yang mendakwa mampu menggandakan jumlah duit dari 73.5 juta rupiah (RM22,138) menjadi 3 bilion rupiah (RM903,598).
Ketua Polis Pesisir Tengah, Komisioner Polis Zaini Dahlan berkata, kes tersebut bermula apabila suspek meramal mangsa akan mendapat wang sebanyak 2 bilion rupiah (RM602,369) jika dia ‘bersedekah’ sebanyak 30 juta rupiah (RM9,035).
Mangsa yang terpedaya itu kemudiannya memberikan wang kepada suspek dengan harapan agar dapat menggandakan wang.
Suspek juga turut berpura pura menjampi beg yang berisi wang itu.
Selepas itu, dalam tempoh yang singkat, suspek menawarkan kepada mangsa ganjaran wang yang kononnya mampu dinaikkan kepada 3 bilion rupiah (RM903,598), asalkan mangsa bersetuju menambah sejumlah 9.9 juta rupiah (RM2,981) lagi.
“Mangsa kemudian percaya lalu menyerahkan wang tersebut kepada suspek,” kata Zaini.
Kemudian, suspek sekali lagi meminta wang tambahan sebanyak 19.8 juta rupiah (RM5,963) dengan syarat mangsa ingin mempercepatkan proses penggandakan wang dari 40 hari menjadi 20 hari.
Mangsa sekali lagi tertipu dan menyerahkan semua wang yang diminta kepada suspek.
Namun pada 5 Ogos lepas, suspek menemui mangsa di rumahnya dan mengatakan semua wang berada di dalam beg yang dibawanya lalu diletakkan di bilik mangsa.
Suspek juga melakukan ‘ritual’ selama tiga jam di bilik mangsa sambil memesan beg yang mempunyai wang itu perlu dibuka keesokan harinya.
Tetapi mangsa yang curiga kerana beg berkenaan dalam keadaan ringan membukanya sebelum mengetahui dirinya ditipu oleh bomoh terbabit.
Selepas disoal, suspek akhirnya mengaku menipu mangsa dengan wang sebanyak 73.5 juta rupiah (RM22,138) itu dikatakan sudah habis digunakan untuk membayar hutang.
Mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan suspek sudah ditahan atas kesalahan menipu.