Teruk sekali pempengaruh yang dikenali sebagai Syamimia dikecam berhubung isu Palestin sehingga kehilangan ratusan ribu pengikut di laman sosial. Namun, dia telah memilih untuk sekali lagi tampil dan membuat permohonan maaf.
Pada penghulu hari iaitu hari ini jumaat, pempengaruh tersebut berkongsi hantaran di media sosialnya di laman tiktok.
Dia yang kini mempunyai kira-kira 860,000 pengikut berbanding 1.2 juta pengikut sebelum ini, turut memohon maaf kerana telah menggunakan patung dewa Yunani sebagai perhiasan di rumahnya.
“Dengan rendah hati, saya Syamimia ingin sekali lagi memohon maaf kepada semua di atas kekurangan saya selama ini.
“Isu Palestin dan ukiran patung David mengajar saya untuk menjadi seseorang yang lebih peka pada isu semasa dan ini merupakan pengajaran terbesar dalam hidup saya.
“Saya bersama Palestin,” demikian menurut Syamimia menerusi perkongsian di semua laman sosialnya, pada pagi Jumaat.
Menurut Syamimia, patung tersebut juga sudah dilupuskannya.
Secara tegas, dia mengaku kesilapannya terutama dalam hal yang melibatkan sensitiviti masyarakat.
“Saya bersyukur menerima bimbingan yang anda berikan dan saya mengaku bersalah kerana tidak prihatin tentang isu ini.
“Saya akui saya masih muda dan buat kesilapan. Kekurangan ini menjadi iktibar untuk saya perbaiki diri di masa hadapan.
“Sekali lagi saya ikhlas mohon maaf membuat anda berkecil hati dengan tindakan saya dan saya tiada niat untuk melukai sesiapa,” kata Syamimia.
Terdahulu, Syamimia didakwa tidak peka terhadap konflik yang melanda di Gaza, yang akhirnya menyebabkan pempengaruh itu menerima kecaman yang teruk daripada netizen.