Buat-buat sakit jantung lepas makan, lelaki ini akhirnya ‘kantoi’ makan free di restoran ke-21

Seorang ekspatriat yang tinggal di Sepanyol telah berpura-pura mengalami serangan jantung di sekurang-kurangnya 20 restoran untuk mengelak daripada membayar bil makanannya.

Akhbar The Sun melaporkan bahawa lelaki berusia 50 tahun asal Lithuania tersebut dijatuhi hukuman penjara kerana dia tidak dapat membayar dua denda selepas penipuannya terbongkar.

Gambar yang diedarkan sebagai amaran kepada restoran lain memaparkan satu senario di mana lelaki tersebut berpura-pura rebah di atas lantai.

Dia akan melakukan penipuan hampir setiap kali mengunjungi restoran yang menjadi sasaran utamanya, terutama di Costa Blanca.

Menurut pemilik restoran, lelaki itu biasanya akan memesan beberapa gelas minuman keras selepas menikmati hidangan salad. Kemudian, dia akan berlakon seolah-olah mengalami serangan jantung.

Antara restoran yang pernah menjadi mangsa penipuan lelaki tersebut ialah EL Buen Comer dan Sale&Pepe, kedua-duanya terletak di bandar Alicante.

Pengurus restoran El Buen Comer berkata: “Ia sangat dramatik, dia berpura-pura pengsan dan merebahkan dirinya di atas lantai.

“Kami menyebarkan gambarnya ke semua restoran untuk menghalangnya menipu lagi,” katanya.

Ekspatriat tersebut kini telah dipenjarakan selama 42 hari kerana enggan membayar dua denda tersebut.

Baca juga: “Mertua datang mintak geran rumah suami siap tunjal kepala aku, rupanya nak tukar nama ke anak perempuan diorang tapi bila suami ada..”