Hanya ulang alik di ‘traffic light’ boleh untung sampai RM48,000 sebulan dengan menggunakan khidmat ramai pekerja warga asing yang diupah.
Dengan menjual jeruk mangga dalam balang di persimpangan lampu isyarat sementara ‘tauke’ mampu menjana pendapat sehingga RM48,000 sebulan.
Itu antara taktik terkini penjual jeruk mangga yang dikesan semakin ramai membuka ‘cawangan’ di lampu isyarat utama seluruh negara.
Wartawan Harian Metro yang melakukan tinjauan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati kegiatan itu sebalik merebak ke hampir seluruh Seremban termasuk daerah Nilai.
Meski perbuatan ini adalah satu kesalahan, pihak berkuasa di negeri ini belum mengambil tindakan undang-undang ke atas penjual mangga jalanan ini atas dasar perikemanusiaan dengan mengambil kira rakyat bergelut dalam ekonomi pasca Covid-19.
Bagaimanapun, hasil perbualan dengan penjual mangga di daerah ini, wartawan mendapati majikan mereka mampu menjana jualan sekurang-kurangnya RM48,000 sebulan tanpa perlu menyewa premis atau memohon lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sudah semestinya, rasa simpati orang awam tertumpu kepada penjual yang dilihat berdiri dan berjalan dalam kesesakan lalu lintas sejak awal pagi hingga senja.
Atas faktor inilah, berlakunya permintaan yang membuatkan lebih banyak ‘penawaran’ wujud hingga merebak ke hampir semua persimpangan lampu isyarat utama.
Lebih mengejutkan, dalam satu operasi bersama dengan JPJ Negeri Sembilan baru-baru ini, terdapat peniaga yang mengambil pekerja warga asing tanpa permit selain pekerja tempatan luar dari negeri ini.
Salah seorang peniaga jeruk mangga berusia 19 tahun memaklumkan, majikan meletakkan sasaran mereka menjual 30 balang jeruk mangga dalam satu hari bermula dari jam 9 pagi hingga senja.
“Jeruk mangga dijual pada harga RM10 sebalang dan ‘target’ kami adalah 30 balang. Namun, kadang-kadang tidak capai ‘target’ dan purata jualan harian biasanya adalah sebanyak 20 balang.
“Kumpulan kami seramai lapan orang dan berpecah kepada dua kumpulan di Seremban. Majikan membayar kami komisyen sebanyak RM3 bagi setiap balang,” katanya ketika ditemui.
Hasil tinjauan dan perbualan dengan penjual itu juga, wartawan mendapati majikan menyewa sebuah rumah untuk didiami pekerja yang rata-ratanya bukan penduduk Negeri Sembilan.
Mereka turut mendirikan khemah di lokasi mereka berniaga untuk menyimpan stok di dalam tong dan stok mangga pula akan dihantar menggunakan lori ke lokasi mereka berkumpul.
Meskipun sudah diberikan amaran keras sebelum ini, penjual jeruk mangga jalanan dan majikan mereka seolah tidak mengendahkan amaran diberikan pihak berkuasa.
Ada di antara mereka adalah penjual jalanan yang sama pernah diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini namun masih meneruskan aktiviti ditegah.
Aktiviti menjual mangga di persimpangan lampu isyarat dibimbangi menjadi budaya atau kebiasaan baharu kepada rakyat negara ini.
Melihat kepada sambutan penjualan jeruk mangga, seorang pengguna jalan raya, Faiz Shahmi Muhammad, 27, tidak menolak kemungkinan ada penjual produk lain turut akan menggunakan medium pemasaran sama.
“Jika kita lihat dari sudut kemanusiaan, memang akan timbul rasa kasihan kepada golongan penjual ini kerana berdiri dan berjalan berjam-jam lamanya di bahu jalan dalam keadaan cuaca panas dan hujan.
“Faktor simpati menyebabkan ada pengguna jalan raya yang akan membeli mangga dengan niat mahu membantu. Ada juga yang memang mahu makan, tetapi tiada kesempatan untuk pergi ke premis yang menjualnya,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi pekerja swasta, Adnan Salleh, 43, berkata, jalan raya adalah bukan tempat untuk menjalankan aktiviti perniagaan dan perkara itu tidak adil bagi peniaga yang memiliki premis.
“Bukan saya mahu menghina atau memandang rendah segelintir golongan, namun penjual mangga jalanan ini boleh diibaratkan sebagai penghuni rumah setinggan.
“Penghuninya tidak membayar sewa, tidak membawa cukai pintu dan tidak membayar apa-apa bil utiliti. Sama juga penjual mangga jalanan ini.
“Mereka mendapat untung tanpa membayar apa-apa sedangkan penjual lain perlu membayar sewa kedai, membayar lesen dan perlu memiliki SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia). Ini tidak adil,” katanya.
Baca juga: Ini 5 duit syiling yang paling mahal pernah dijual dalam sejarah