Budak 12 tahun sekelip mata jadi jutawan Bitcoin

Seorang budak lelaki berusia 12 tahun yang membuat pelaburan awal Bitcoin sebanyak AS$1,245 (RM5,811) kini menjadi jutawan setelah nilai mata wang kripto tersebut melambung tinggi.

Erik Finman mendakwa dia membuat perjanjian pada tahun 2011 dengan ibu bapanya dan memutuskan untuk tidak melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

Keputusan ini diambil kerana hasratnya untuk mencari kekayaan di luar jalur pendidikan konvensional.

Dengan cita-cita untuk menjadi jutawan pada usia muda, dia percaya bahawa melabur dalam mata wang kripto adalah jalan untuk mewujudkan impian tersebut.

Setelah menerima AS$1,245 dari neneknya pada tahun 2011, Finman melabur dalam Bitcoin (BTC) yang pada masa itu diniagakan kira-kira AS$12 (RM56) untuk 1 BTC. Hasilnya, dia kini memiliki 103 BTC.

Pada Disember 2017, semasa Finman berusia 18 tahun, nilai Bitcoinnya mencapai paras tertinggi AS$20,000 (RM93,360) untuk setiap satu BTC.

Pelaburan awalnya sebanyak AS$1,245 turut berkembang menjadi AS$2.07 juta (RM9.66 juta).

Dia memberitahu laman perniagaan Business of Business: “Saya sangat tidak suka belajar di  sekolah tinggi. Orang ramai tidak benar-benar faham apa yang saya cuba lakukan atau memahami apa yang saya cari atau apa yang saya impikan.

“Malah ada seorang guru memberitahu saya, ya, berhentilah belajar dan bekerja di McDonald’s kerana saya tidak akan dapat mencapai apa-apa lagi (kejayaan) dalam kehidupan.

“Saya berhenti sekolah tinggi dan membuat pertaruhan dengan ibu bapa saya iaitu jika saya menjana  satu juta dolar (RM4.67 juta) pada masa usia saya 18 tahun, saya tidak perlu kembali ke sekolah atau pergi ke universiti.”

Walaupun kini berusia 25 tahun, Finman tidak terlalu gembira dengan kejayaannya dan memutuskan untuk keluar daripada pelaburan mata wang digital kerana dia merasa ‘muak menjadi orang Bitcoin’.

Baca juga: “Nenek mertua tiba tiba ajak tidur rumah dia sebab nak ajak sembang, rupanya nak bagitahu aku tak layak sebab miskin dan tak sekufu dengan suami”