Hati mana tidak sedih melihat kanak-kanak usia empat tahun tidur di atas longgokan sampah. Ini lah yang berlaku kepada salah seorang anak penagih dadah.
Memetik Harian Metro, lebih menyedihkan apabila mangsa tidur di atas tilam ‘diselimuti’ sampah yang menjijikkan.
Jurucakap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendedahkan, insiden ini ditemui semasa lawatan dan program mendekati masyarakat di sebuah daerah di Kelantan.
Anggota AADK, yang secara kebetulan melintasi rumah yang kelihatan seolah-olah sudah ditinggalkan, merasa curiga apabila mendengar suara dan tangisan kanak-kanak dari dalam rumah tersebut.
“Pegawai AADK segera memeriksa rumah tidak berkunci itu dan terkejut mendapati setiap pelosok dan ruang bilik hingga ke dapur dipenuhi longgokan sampah,” katanya.
Dalam rumah tersebut, mereka mendapati seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dalam keadaan tidak terurus. Turut berada di rumah itu adalah seorang wanita dan anak remajanya berusia 18 tahun.
Situasi ini amat meruntun jiwa, menyebabkan AADK menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membantu keluarga terbabit serta menyelamatkan kanak-kanak kecil itu.
Pihak JKM segera mengambil kanak-kanak tersebut untuk diberikan rawatan dan penjagaan sempurna.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati abang kanak-kanak itu positif menagih dadah, manakala ibunya berdepan masalah kemurungan akibat penceraian,” tambah jurucakap AADK.
AADK cuba menghulurkan bantuan dengan memulihkan remaja terbabit melalui Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti.
Malah, AADK dan JKM turut bergotong-royong membersihkan rumah tersebut supaya ia selamat dihuni oleh keluarga itu.
Kisah sedih ini turut dikongsi di TikTok oleh @shanizam9910 yang memaparkan keadaan rumah dihuni penagih dadah tersebut.
Dalam video itu, jelas kelihatan keadaan rumah yang sangat kotor dan tidak teratur serta seorang kanak-kanak berusia 4 tahun yang tidur berhampiran timbunan sampah.
“Meruntun jiwa saya apabila mendapati kanak-kanak itu tidur berhampiran timbunan sampah. Saya dengan bantuan rakan mendapatkan bantuan JKM untuk keluarga ini. Kami di AADK hadir untuk membantu merawat, bukan untuk menghukum,” katanya.
Pemilik video itu juga menasihati individu yang terbabit dengan dadah agar tidak takut dan segera pergi ke mana-mana AADK untuk mendapatkan bantuan.
Baca: Senang rupanya baiki kipas lama sendiri, modal cuma RM10 je!