Budak ditinggal dalam kereta hampir 40 minit, netizen bengang penjaga tidak bertanggungjawab

Sebuah video yang tular dalam laman sosial X memaparkan seorang kanak-kanak yang ditinggalkan berseorangan di dalam kenderaan.

Kenderaan tersebut yang diparkir di tengah panas juga membuatkan kanak-kanak itu kelihatan sedang bermandi peluh dan lemah.

“Tinggalkan anak dalam kereta tengah panas macam ni? Sudahlah tutup enjin, kereta berkunci, tingkap pula buka sedikit sahaja. Muka pun dah pucat.

“Hampir 40 minit saya tunggu di situ tetapi tidak ada sesiapa pun yang datang. Akhirnya, saya minta tolong orang ramai untuk pecahkan cermin dan bawa dia ke klinik,” katanya.

Pengguna tersebut menyatakan kanak-kanak itu telah mendapatkan rawatan selanjutnya di klinik berdekatan namun tidak dapat dipastikan keberadaan penjaganya.

Meninjau ke ruangan komen, orang ramai meluahkan rasa marah dan kecewa atas tindakan tidak bertanggungjawab penjaga kepada kanak-kanak tersebut.

“Boleh buat laporan polis ni. Ini dah dikira pengabaian terhadap kanak-kanak,” kata Riesna.

“Budak tu selamat tak? Saya harap awak buat laporan polis. Kasihannya, tak sanggup nak tengok keadaan dia,” kata seorang pengguna.

“Saya duduk dalam kereta lima minit pun dah sesak nafas apatah lagi 40 minit,” kata seorang lagi pengguna.

Baca juga: Kasih hingga ke syurga! Kakak derma rahim kepada adik supaya mampu miliki anak sendiri