Arshia Goswami, seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dari Haryana, India, diberi gelaran Hercules versi wanita setelah menunjukkan kebolehannya mengangkat beban seberat 75 kilogram (kg).
Oddity Central melaporkan bahawa perhatian telah tertumpu kepada Arshia beberapa tahun yang lalu apabila beliau mencatatkan dirinya sebagai atlet angkat berat termuda India, dengan rekod peribadi terbaiknya pada masa itu adalah 45 kg.
Sejak itu, Arshia terus berlatih dengan bersungguh-sungguh dan baru-baru ini, videonya selepas mengangkat beban seberat 75 kg telah menjadi viral.
Ini merupakan pencapaian terbaik kerana mengangkat dua kali berat badannya sendiri.
Walaupun menerima banyak maklum balas positif dengan orang ramai memuji kekuatan dan bentuk tubuhnya, terdapat juga segelintir yang meninggalkan komen menyatakan kebimbangan kerana mereka menganggap beban berat tersebut boleh membawa kesan kesihatan yang serius kepada Arshia.
“Wah. Saya mengambil masa bertahun-tahun untuk mencuba berat ini ketika saya masih remaja. Setinggi-tinggi penghormatan,” tulis rakan angkat berat.
“Pencapaian luar biasa oleh Arshia Goswami, mempamerkan kekuatan dan keazaman pada usia yang begitu muda! Benar-benar memberi inspirasi kepada semua atlet yang bercita-cita tinggi, ” kata individu lain.
Baca juga: Syarikat tawar RM47,000 jika anda boleh hidup tanpa telefon setahun