Budak perempuan lima tahun derita ditendang dan disimbah air panas, bakal penuntut IPTA antara tiga beranak dituduh mendera

Seorang bakal penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) antara tiga beranak yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas pertuduhan mendera seorang budak perempuan berusia lima tahun pada bulan lalu.

Wanita muda G Nisha, 21, bersama bapanya, R Guna Silan, 42 serta ibunya, K Nagamah, 41 membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan dalam bahasa Tamil, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara bersama-sama sebagai penjaga kepada seorang kanak-kanak perempuan, mendera menggunakan rotan, dipukul, ditendang dan disimbah air panas.

Penderaan itu didakwa dilakukan ketiga-tiga tertuduh di antara 15 hingga 19 Julai lalu di sebuah rumah di Taman Seri Mahsan, Bandar Seri Jempol.

Akibat tindakan mereka, budak perempuan malang itu cedera di seluruh bahagian badan iaitu di bahagian dada, belakang badan, kedua-dua belah kaki, kepala dan muka.

Tiga beranak itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Memetik laporan BH, rayuan memohon jaminan yang minimum dibuat atas alasan sudah memberikan kerjasama yang baik kepada siasatan polis, selain seorang tertuduh akan melanjutkan pengajian di sebuah IPTA pada bulan September ini.