Bukan BERSATU je, PAS pun UMNO tak ingin kerjasama – Zahid

UMNO nampaknya sudah tawar hati dengan parti-parti gabungan, bukan sahaja dengan Bersatu malah termasuk PAS yang disatukan dalam ikatan Muafakat Nasional (MN).

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, UMNO telah dikhianati berulang kali oleh PAS.

Pun begitu, beliau memaklmumkan bahawa memandangkan MN tidak pernah didaftarkan maka tidak nampak ada cahaya terang untuk MN direalisasikan seperti mana pilihan raya kecil (PRK) lain yang pernah diadakan.

Dalam program bual bicara itu, ditanya adakah Zahid kecewa dengan MN, ahli Parlimen Bagan Datuk itu menafikannya namun menegaskan bahawa UMNO telah “dikhianati berulang kali”.

“Saya tidak pernah kecewa sebagai seorang orang ahli politik tetapi kita harus tahu bahawa bila kita berkongsi, terutamanya berkongsi hidup, kita harus saling percaya mempercayai dan kita jangan khianat mengkhianati.

“Cukuplah kalau pengkhianatan itu dilakukan sekali.

“Tetapi kalau telah berulang kali, bukan kepada UMNO tetapi kepada pelbagai pihak, saya fikir itu harus dinilai semula,” katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut pengkhianatan yang dimaksudkan.

Hal demikian, menyentuh soal PRN Melaka, Zahid berkata,” biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji BN secara solo.

“…Dan Insya Allah rakyat memilih parti yang terbaik,” kata Zahid sebagai panel jemputan dalam program ‘Jawab, Saya Tanya’ bertajuk ‘PRU15: Membentuk Atau Membina Arus?’ yang disiarkan secara dalam talian.

Dalam perkembangan lain, di saat Zahid membuat kenyataan yang menunjukkan keengganan parti itu untuk bekerjasama dengan PAS, beberapa pemimpin kanan UMNO dan PAS mengadakan pertemuan semalam.

Pemimpin UMNO yang hadir ialah timbalan presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; dan ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

PAS pula diwakili timbalan presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden, Idris Ahmad.

Asyraf turut menyiarkan pertemuan itu di Facebook dengan tanda pagar “#muafakat”.

“Sama-sama mencari titik-titik persamaan demi memperteguhkan ukhwah,” tulisnya.

sumber : https://suara.tv/13/10/2021/bukan-sekadar-bersatu-kerjasama-dengan-pas-juga-umno-tak-ingin-zahid/