Majlis Istiadat Perkahwinan Diraja yang baru sahaja melabuhkan tirainya semalam masih lagi dibicarakan oleh pengguna-pengguna media sosial.
Ini kerana penampilan pertama Dayang Anisha pada Majlis Khatam Al-Quran pada 3 Januari lalu benar-benar memukau dengan pakaian kurung moden yang anggun, menggunakan kain songket tenunan Brunei berwarna putih.
Penampilannya ini sungguh mempesona dan memikat perhatian setiap mata yang melihat.
Sama juga dengan penampilannya semasa Majlis Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja pada 9 Januari, Dayang Anisha tampil memukau dengan mengenakan baju kurung pendek yang dihiasi sulaman renda bertatahkan mutiara serba putih.
Kedua-dua pakaian tersebut adalah hasil sentuhan pereka dari Malaysia, Teh Firdaus.
Mari kami kongsikan trivia mengenai pereka busana Teh Firdaus:
1) Merupakan graduan Rekaan Fesyen dari UiTM Seri Iskandar, Perak.
2) Teh Firdaus memulakan langkah dalam membina reputasi dengan menerima tempahan busana pengantin (bridal) dan pakaian khas yang ditempah oleh pelanggan (custom made) dari sebuah studio kecil di Seri Kembangan, Selangor.
3) Jenama Teh Firdaus perlahan-lahan berkembang menjadi pilihan utama di kalangan selebriti dan kerabat diraja.
4) Dia yang juga Pengarah Kreatif jenama Teh Firdaus yang dilaporkan oleh Harpers Bazaar Malaysia, menyatakan bahawa pertemuan pertamanya dengan Dayang Anisha berlaku pada bulan Jun tahun lalu. Pada pertemuan itu, wanita itu meminta Firdaus untuk mencipta pakaian khusus untuknya.
5) Terpukau dengan kebolehan Firdaus, Dayang Anisha kemudiannya ‘melamar’ Teh Firdaus untuk mereka dan menghasilkan pakaian khusus sempena Majlis Istiadat Perkahwinan Diraja.
6) Menurut Teh Firdaus, proses pembuatan busana Dayang Anisha untuk Majlis Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja mengambil masa selama tiga bulan untuk disiapkan.
7) Ciri-ciri rekaan khas Teh Firdaus adalah gaya yang sederhana, mudah namun tetap mengekalkan ciri-ciri feminin yang elegan dan berkelas.
Baca juga: “Mak mertua selalu jadi sasaran kena jaga cucu, sampai kena duduk rumah anak berbulan bulan”