Dunia dikejutkan dengan pemain badminton China yang rebah ketika sedang dalam perlawanan menentang Jepun di Kejohanan Berpasukan Campuran Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia.
Zhang Zhijie yang berusia 17 tahun dikatakan rebah selama beberapa minit sebelum dibantu oleh pasukan perubatan yang berdekatan.
Ini tentunya situasi yang menakutkan buat ramai orang apabila seorang atlet yang sihat dan tentunya aktif bersukan juga mampu terkena serangan jantung hingga meragut nyawa.
Selain Zhang Zhijie, tiga lagi pemain badminton dunia turut menemui ajal melalui cara yang sama iaitu terkena serangan jantung.
1. Gan Teik Chai
Bekas pemain beregu kebangsaan, Gan Teik Chai menghembuskan nafas terakhir pada usia 40 tahun dan kematiannya disebabkan serangan jantung.
Datuk Lee Chong Wei antara yang berkongsi berita pemergian Teik Chai di laman media sosial miliknya.
“Dengan rasa berat hati dan pilu, saya berkongsi berita pemergian teman rapat saya Gan Teik Chai yang saya panggil Ah Gan.
“Tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata kesedihan mendalam yang saya rasai sekarang. Saya berulang kali memutarkan mesej suara yang ditinggalkan yang mana dia bersetuju menyertai saya di gelanggang minggu depan. Kini perlawanan dengan Ah Gan tidak akan menjadi kenyataan,” kata Chong Wei.
Sepanjang bergelar pemain, Teik Chai berasal dari Kedah pernah memenangi pingat gangsa Sukan Sea 2007 bersama Lim Woon Fui dan memenangi pingat gangsa berpasukan lelaki di Kejohanan Remaja Asia 2000 dan juga beberapa kejohanan yang lain.
2. Markis Kido
Bekas pemain badminton Indonesia yang pernah memenangi pingat emas Olimpik 20q8, Markis Kido turut meninggal akibat serangan jantung.
Beliau yang berumur 37 tahun dikatakan sedang bermain badminton bersama rakan ketika itu di Tangerang dekat Jawa.
Markis turut mendapat emas di sukan Olimpik ketika berpasangan dengan Hendra Setiawan serta menjadi juara di Kejohanan Badminton Dunia 2017 dan Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.
3. Jung Jae-sung
Bekas pemain badminton Korea Selatan, Jung Jae sung meninggal dunia pada usia 35 tahun akibat serangan jantung.
Beliau turut memenangi pingat gangsa beregu lelaki ketika Olimpik London 2012 ketika menewaskan beregu Malaysia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.
Kematian pemain yang dianggap antara legenda Korea Selatan ini nyata mengejutkan arena badminton dunia.
Baca juga: Hanya ‘follow’ Khairul Aming di Tiktok, netizen kagum Tun Mahathir kenal anak melayu