Bukit Aman kini dedah lakaran wajah suspek kes simbah asid Faisal Halim

Berdasarkan lakaran fotfit yang terhasil, suspek kejadian simbah asid itu dikenalpasti memakai topi celoreng tentera dan pelitup muka bercorak batik pada kejadian 5 Mei itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, turut mendedahkan suspek dianggarkan berusia 30 tahun.

“Suspek dianggarkan berusia 30 tahun, berketinggian 165 sentimeter (sm) dengan saiz susuk badan sederhana dan berkulit sawo matang.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu berwajah seperti lakaran fotofit terbabit, diminta tampil membantu siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Razarudin menyatakan bahawa maklumat boleh diberikan secara langsung kepada Inspektor M. Jagachandran a/l Murugesen, Pegawai Penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas di Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, melalui nombor telefon 012-684 8166 atau 03-2266 6071, atau dengan pergi ke balai polis yang berhampiran.

“Kita berharap ada saksi tampil dapat membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengesan suspek, dan seterusnya membuat siasatan lanjut berkaitan kes simbah asid membabitkan Faisal,” katanya.

Pada 11 Mei lalu, PDRM mendakwa sudah memulakan proses lakaran suspek yang membabitkan pemain bola negara Faisal Halim.

Ia dilakukan dengan bantuan saksi serta rakaman litar tertutup(CCTV) di tempat kejadian.

Pada 5 Mei yang lalu, Faisal dilaporkan mengalami kecederaan akibat disimbah asid oleh dua individu yang menunggang motosikal di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya sekitar jam 5 petang.

Baca juga: “7 tahun kahwin mak mertua langsung taknak bagi muka, dia kata sebab aku ada sejarah kemurungan”