Bukit Aman siasat LHDN, Najib tersenyum

Bukit Aman siasat LHDN, Najib tersenyum

Bukit Aman mengesahkan telah membuka siasatan terhadap laporan polis bekas perdana menteri Najib Razak ke atas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mendakwa badan itu mengenakan penalti cukai yang tinggi terhadapnya susulan tekanan politik.

Pengarah Jabatan Jenayah Komersial Kamarudin Md Din berkata, kes berkenaan disasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan pemalsuan dokumen dengan tujuan untuk menipu.

Najib pada 9 September lalu, menerusi hantaran di Facebook, mendakwa berdasarkan maklumat kukuh, ada pegawai LHDN dan ahli politik yang telah menyalahgunakan kuasa mereka dan menggunakan dokumen palsu untuk menganiaya dirinya.

“PDRM mengesahkan bahawa satu siasatan sedang dijalankan berkaitan laporan polis yang dibuat oleh najib Razak terhadap LHDN. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

“Semua pihak yang terlibat akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat,” kata Kamarudin.

Dia juga meminta orag ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.

Mengikut Seksyen 468, Kanun Keseksaan, mereka yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Dalam catatan Facebooknya, Najib mendakwa ada pegawai LHDN dan ahli politik yang telah menyalahgunakan kuasa mereka dan menggunakan dokumen palsu untuk menganiaya dirinya.

Dia juga melampirkan salinan laporan polisnya mengenai perkara itu.

“Ada yang datang menemui saya dan memohon maaf serta memberitahu saya bahawa kes cukai tambahan RM1.7 bilion ini sebenarnya telah disiasat 3 kali sejak 2018.

“Malah mereka sendiri akui, setelah tiga kali siasatan itu dijalankan dengan penuh teliti, mereka tidak menemui apa-apa kesalahan yang dilakukan saya dan tiada penalti cukai yang patut dikenakan terhadap saya.

“Namun, selepas tiga kali siasatan itu selesai dan hasilnya jelas saya tidak melakukan sebarang kesalahan mengikut undang-undang, ada pegawai tertinggi LHDN yang mengarahkan untuk teruskan penalti cukai terhadap saya kerana telah diarahkan oleh ahli-ahli politik tertentu,” kata Najib di Facebook

Kerajaan memfailkan saman terhadap Najib pada Jun 2019 bagi menuntut lebih RM1.69 bilion daripada bekas perdana menteri itu, dengan kadar faedah lima peratus setiap tahun bermula dari tarikh penghakiman, serta kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Najib dilaporkan tidak mengisytiharkan kira-kira RM4 bilion dalam tempoh tersebut, termasuk RM2.6 bilion yang didakwa penyiasat Amerika Syarikat berasal dari 1MDB.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/592378

COMMENTS