Bullet train pertama di Asia Tenggara, Whoosh kini mulakan perkhidmatan

Presiden Joko Widodo (Jokowi) telah merasmikan kereta api berkelajuan tinggi (bullet train) pertama di Indonesia yang dikenali sebagai “Whoosh” semalam, seperti yang dilaporkan oleh stesen penyiaran CNBC.

“Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, bullet train Jakarta-Bandung, Whoosh dilancarkan secara rasmi dan kini mula beroperasi.

“Bullet train Jakarta-Bandung ini merupakan yang pertama di Indonesia dan juga rantau Asia Tenggara.

“Kerana kelajuannya mencapai 350 kilometer sejam, kita namakan tren ini sebagai Whoosh,” kata Jokowi semasa majlis perasmian di Stesen Halim Jakarta.

Menurut Jokowi, nama “Whoosh” diilhamkan oleh bunyi yang dihasilkan oleh kereta api berkelajuan tinggi seperti itu, dan ia juga merupakan singkatan daripada slogan “Waktu Hemat Operasi Optimal Sistem Hebat” (Jimat masa operasi optimum sistem hebat).

Projek kereta api canggih yang merupakan sebahagian daripada Inisiatif Jalur dan Jalan China adalah sebuah kemajuan yang signifikan dalam pembangunan infrastruktur dan perhubungan antarabangsa.

Dibiayai oleh syarikat milik Beijing dengan kos sebanyak AS$7.3 bilion (RM34.27 bilion), ia akan membawa banyak manfaat kepada kawasan yang dilaluinya.

Projek yang dinantikan begitu lama telah mengalami beberapa penundaan sebelum ini, dan paling awal dijadualkan untuk selesai pada tahun 2019.

Namun, pelbagai isu yang timbul terutamanya semasa pandemik Covid-19 dan juga masalah pengambilan tanah telah menyebabkan projek itu lambat selesai dan kosnya meningkat.

Perkhidmatan kereta laju Whoosh akan beroperasi dari ibu negara Indonesia, Jakarta, sehingga ke bandar kedua terbesar, Bandung, di wilayah Jawa Barat.

Sempena pelancaran tersebut, penumpang akan dapat menaiki kereta laju Whoosh secara percuma sehingga harga tambang rasmi diumumkan.

Baca juga: Penumpang obes punca ‘absorber’ rosak, kecil hati dimaki hamun pemandu mulut celupar