Buntu berapa hari nak ganti bilangan puasa? Jangan risau, Mufti ajar pilih yang meyakinkan!

Beberapa hari sahaja lagi umat Islam bakal menyambut Ramadan al mubarak iaitu bulan puasa yang amat penuh dengan berkah.

Pastilah sebelum menyambut bulan puasa, kaum wanita akan bersungguh-sungguh menggantikan bilangan puasa yang telah ditinggalkan pada tahun lepas.

Namun, bagi mereka yang meninggalkan puasa terdapat waktu-waktu di mana jumlah hari puasa yang perlu diganti menjadi tidak pasti kerana telah terlupa.

Jadi, apabila berada dalam situasi ini, Jabatan Mufti Terengganu menasihatkan individu untuk melakukan qada’ puasa secara umum bagi hari-hari yang telah terlupa, tanpa perlu menentukan bilangan hari yang pasti.

Secara mudahnya, umat Islam perlulah mengambil bilangan hari yang dirasakan yakin dan benar sahaja.

Dasar hukum ini boleh dipetik daripada sabda Nabi Muhammad SAW yang berkait dengan orang lupa bilangan rakaat solat.

Maksudnya:

Apabila ragu salah seorang dari kamu dalam solat, hendaknya dia buang keraguannya dan dia ambil yang lebih meyakinkan.” (Riwayat Abu Dawud dan disahihkan oleh al-Albani)

Orang yang solat Zohor dan lupa sama ada dia telah mengerjakan dua rakaat atau tiga rakaat, dia wajib memilih untuk menunaikan dua rakaat, kerana itulah yang lebih meyakinkan.

Orang yang sedang melakukan tawaf dan lupa sama ada dia telah menunaikan lima kali putaran atau enam kali, dia wajib memilih yang lebih sedikit, iaitu lima kali putaran, kerana itu lebih meyakinkan.

Sama dengan orang yang berpuasa dan ingin menggantikannya, Contohnya, jika seseorang meragui jumlah hari puasa yang perlu diganti antara dua atau tiga hari, maka disyorkan untuk memilih yang lebih banyak, iaitu tiga hari, kerana itu adalah bilangan yang lebih meyakinkan.

Berkata Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni.

Maksudnya:

“Apabila tanggungan puasa sangat banyak, dia wajib terus-menerus melakukan qada.

“Jika dia tidak tahu berapa jumlah hari yang menjadi kewajipan puasanya, maka dia wajib mengulang-ulang qada’ puasa sampai dia yakin telah menggugurkan seluruh tanggungannya.”

Kata Ibnu Qudamah lagi sambil menyebutkan riwayat dari Imam Ahmad:

Maksudnya:

“Dia hendaklah ulang-ulang sampai tidak ragu lagi bahawa dia telah melakukan apa yang telah dia lalaikan. Dia hanya melakukan yang wajib sahaja.”

Baca juga: Senang je buat kek batik kalau ikut resepi ‘legend’, janji jangan derhaka!