Tandas di sebuah sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Air Hitam Labu, Kampar meraih perhatian ramai kerana kelihatan sangat cantik seperti di hotel.
Menerusi perkongsian seorang pengguna di laman X, transformasi tersebut dibuat menggunakan peruntukan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) sebanyak RM70,000.
“Tahukah anda wajah tandas sebuah sekolah di Ipoh yang menggunakan peruntukan RM70,000 oleh KPM
“Alhamdulillah cantik sangat kejadiannya. Ada PM guna RM38 juta renovate kediaman rasmi.
“Ada PM guna RM38 juta renovate tandas di 542 sekolah,” ciapnya.
Menerusi hantaran sama, dia turut berkongsi gambar-gambar terkini keadaan tandas tersebut, sekali gus menerima pelbagai respons.
“Terbaik. kalau mana-mana sekolah yang dapat peruntukan dari KPM untuk baiki tandas tapi hasil macam tikus membaiki labu, bolehlah buat laporan penyelewengan ye.
“Guru besar jangan lepaskan duit pada kontraktor selagi hasil baiki tandas tak menepati piawaian,” komen Fahmi Ismail
“Barulah boleh ajar pula murid jaga kebersihan,” kata seorang lagi pengguna.
Malah ada juga yang merancang untuk menghantar anak ke sekolah swasta, membatalkan hasrat itu kerana mengutamakan kebersihan tandas.
“Bagusnya. Kalau macam ini, bolehlah pertimbangkan hantar anak ke sekolah kerajaan. Saya baru cadang hantar anak ke sekolah swasta, antara sebabnya adalah kemudahan tandas,” kata Muhammad Hazman.
Julai lalu media melaporkan, KPM mengagihkan peruntukan RM70,000 kepada setiap sekolah di seluruh negara.
KPM dalam masa sama, memberi tempoh tiga bulan kepada setiap sekolah untuk menyelesaikan kerja-kerja penyelenggaraan tandas untuk keselesaan setiap pelajar.
Baca juga: Caj RM1.72 akan dikenakan jika pelanggan tak mahu taugeh dalam makanan yang dipesan