Pelakon Erysha Emyra enggan bersetuju dengan trend di media sosial yang menayangkan keputusan gagal Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang turut memandang remeh soal pendidikan seseorang.
Erysha atau nama penuhnya Nur Erysha Emyra Zakaria, 25, turut mendakwa SPM merupakan satu langkah penting sebelum melangkah ke bidang pengajian yang lebih tinggi.
“Saya kurang setuju apabila ada yang buat ‘content’ dalam media sosial tentang kegagalan dalam SPM dan anggap semua itu tidak penting.
“Bagi saya, pada peringkat apa pun, pendidikan adalah penting. Kalau gagal sekalipun, jangan begitu bangga apatah lagi galakkan orang dengan pencapaian sebegitu. Jangan normalisasikannya,” katanya.
Erysha yang sibuk dengan dunia lakonannya turut mengejutkan ramai dengan pencapaiannya yang mendapat 9A dalam SPM namun dirinya masih belum melanjutkan pelajaran kerana terikat dengan komitmen kerja.
“Buat masa ini saya tangguh dulu hasrat sambung belajar. Apabila sudah bekerja ada tanggungjawab yang perlu saya laksanakan
“Jadi, sekarang biarlah saya bekerja dahulu,” katanya lagi.
Baca juga: Kecoh suami Bunga Citra Lestari songlap duit hampir RM1.7 juta?