Cara pam tayar yang betul, elak tayar cepat botak. Bagi yang mempunyai kenderaan, pam tayar kereta adalah satu rutin tidak kira seminggu sekali atau sebulan sekali.
Pastinya ramai yang fikir, isi angin kereta ada cara yang betul dan salah juga ke? Namun ramai sebenarnya yang tidak tahu cara sebenar mengepam angin kereta yang betul.
Satu perkara yang anda wajib tahu ialah tekanan tayar yang tepat amat penting bagi memastikan kelancaran, keselamatan dan ketahanan tayar.
MASKULIN kongsikan cara betul isi angin tayar kereta anda.
TEKANAN MAKSIMUM
Perhatikan tulisan pada dinding sisi tayar. Di situ terdapat perkataan ‘Max. Press. 35 PSI’. Angka tersebut menunjukkan tekanan sejuk maksimum yang diperlukan tayar untuk menampung beban maksimum.
Kata ‘sejuk’ di atas merujuk kepada situasi anda mengepam tayar pada masa ideal, iaitu ketika cuaca sejuk seperti pada waktu pagi atau selepas kereta dibiarkan beberapa jam di kawasan teduh.
Itulah masa terbaik mengepam tayar. Kebiasaannya, tekanan tayar maksimum berada dalam julat 30 dan 32 PSI.
JIKA TAYAR DIPAM MAKSIMUM PSI?
KARAKTER PENGENDALIAN KERETA BERUBAH
Antara perubahan ketara dirasakan ialah karakter pengendalian. Tayar yang sudah dipam maksimum tidak mempunyai ruang anjalan pada dinding sisi. Ini menyebabkan tahap membelok jadi bertambah baik.
Namun anda berdepan risiko ketika melakukan brek jajap (threshold braking). Jika membelok pantas atau mengejut, belakang kereta anda boleh terseret.
JANGKA HAYAT TAYAR MEROSOT
Antara kekurangannya pula jangka hayat tayar akan lebih cepat botak. Bila tayar dipam terlalu banyak, getah pada bunga tayar atas akan lebih menonjol dan membuatkan bahagian tengah tayar cepat haus.
Malah, kawalan traksi juga berkurangan dan anda menghadapi risiko tayar meletup.
TEKANAN TAYAR OPTIMUM
Tekanan disarankan kebiasaannya antara 30 dan 35 PSI. Nombor tersebut menandakan jumlah minimum tekanan udara yang diperlukan untuk menyokong kapasiti maksimum bawa-beban kenderaan anda.
Jika berkurangan, anda akan dapati penggunaan bahan api dan tahap pengendalian akan terjejas, termasuk mengalami masalah haus disebabkan beban lebih dan getah tayar terlalu menganjal.
Sebaliknya, apabila tayar anda dipam mengikut tekanan PSI disarankan, anda pasti menikmati prestasi dan jangka hayat tayar yang optimum.
MASA TERBAIK PAM TAYAR
Bilakah masa terbaik memeriksa tekanan tayar? Sebaiknya, ikutilah 3 syarat asas ini:
- Setiap kali mengisi minyak
- Setiap kali suhu berubah 10ºc
- Sekali bagi setiap 30 hari
Jika anda mahu tayar anda dipam mengikut tekanan tepat sebelum memandu, apa kata dapatkan tolok tekanan di mana-mana kedai aksesori kereta terdekat. Cara ini lebih memudahkan anda.
Jadi kalau tak mahu tayar kereta cepat botak, anda boleh isi angin tayar dengan cara yang dikongsikan di atas.
Baca Juga: Masa memandu tiba-tiba lampu enjin menyala, jangan panik dan ikuti langkah ini
Baca Juga: Jangan buang masa cari ayam, satu Selangor tiada ayam hari ini