Cara PM Anwar jawab soalan pemberita pro pengganas lain macam, netizen pula ‘petik’ nama Muhyiddin dan Hadi

Ramai memuji cara Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan dari seorang pemberita yang nampak pro pengganas Israel semasa sidang media beliau di Jerman kelmarin.

Namun, lucunya nama bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang selain Menteri Besar Kedah, Sanusi pula kena ‘petik’ dan disebut-sebut netizen.

“Kalau Midin, dari awal dia mintak MC alasan cirit. Kalau Hadi, dari awal ke laut pergi tangkap tenggiri. Kalau Nusi, dia mungkin bawa penterjemah, lepas tu duk cakap bahasa Kedah dia.

“Bangga. Kalau Pagoh (Muhyiddin) ni pasti cirit nak live jawap macam tu.

“Kalau Din Pagoh ni, dia skip je soalan macam tu. Harus ada PDF,” demikian antara seloroh warganet.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar seolah-olah ‘smash’ cukup-cukup golongan pro Zionis Israel yang sudah lima bulan mengganas di bumi para Nabi, Palestin.

Perdana Menteri menegaskan bahawa wartawan berkenaan sepatutnya tidak melihat sesuatu perkara dari satu sudut atau sebelah pihak sahaja kerana peperangan terbabit turut mengorbankan ribuan nyawa rakyat Palestin yang tidak berdosa.

“Bagaimana dengan keganasan yang dilakukan terhadap mereka (rakyat Palestin) dan tanah milik mereka dirampas begitu sahaja? Adakah kamu tidak peduli mengenai isu ini?

“Mengapa perlu berpihak kepada sebelah pihak sahaja apabila kita perlu melihat kepada perspektif kedua-dua pihak?

“Adakah kerana kamu memilih untuk memihak kepada sesetengah bangsa atau agama sahaja?” bidas Anwar ketika dalam sidang akhbar bersama rakan sejawatnya Canselor Olaf Scholz di Canselori Persekutuan, Berlin.

Sebelum itu, wartawan tersebut bertanyakan tentang konflik peperangan Palestin dan Israel terutamanya dalam soal pembebasan tebusan Israel oleh kumpulan pejuang Hamas.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau tidak bersetuju untuk keganasan dilakukan terhadap mana-mana pihak.

Justeru, beliau menasihati wartawan tersebut untuk tidak memberi fokus kepada satu pihak sahaja dengan membelakangkan kezaliman Israel merampas tanah milik rakyat Palestin sejak 1948.

“Saya tidak menyokong apa-apa jenis kekejaman dan saya tidak setuju sekiranya tebusan terus ditahan lebih lama oleh kedua-dua pihak.

“Namun, jangan membelakangkan sejarah 60 tahun Palestin ditindas ketika Nakba,” tegas Perdana Menteri lagi.

Dalam masa sama, Anwar turut mengkritik sikap negara Barat yang gagal mengambil tindakan tegas terhadap kekejaman Israel di Gaza yang telah mengorbankan lebih 30,000 nyawa.

Beliau menegaskan dasar dan kekejaman Israel terhadap Palestin selama berdekad-dekad adalah punca utama kepada konflik yang berterusan.

BACA JUGA Wanita bertuah! Suami ‘selimutkan’ ibu tunggal dengan nafkah RM2.1 Juta sebulan