CCTV tunjuk Faisal Halim disimbah asid tersebar

Peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan penularan rakaman CCTV yang menunjukkan insiden simbahan asid terhadap pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim, di sebuah pusat beli-belah di Damansara.

Dalam video tersebut, seorang lelaki bertopi kelihatan menunggu Faisal yang sedang menuju ke keretanya sebelum menyimbah asid tersebut ke arah Faisal.

Setelah terkena simbahan asid, Faisal segera berlari menyelamatkan diri, sementara seorang wanita yang dipercayai isterinya cuba mengejar pelaku yang melarikan diri dengan menaiki motosikal bersama rakan subahatnya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengedarkan lakaran wajah suspek yang terlibat dalam kes tersebut. Menurut kenyataan rasmi Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, suspek dianggarkan berusia sekitar 30 tahun, dengan ketinggian 165 sentimeter, susuk badan sederhana, dan berkulit sawo matang.

PDRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu yang sepadan dengan lakaran tersebut untuk menghubungi pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D6), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Inspektor M. Jagachandran di talian 012-6848166 / 03-2266 6071 atau tampil di mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Baca: Menantu Presiden Pas didakwa buat tuntutan palsu penyediaan minuman untuk Raja Perlis di hospital