Terdapat banyak syarikat yang kini menawarkan servis penghantaran makanan dek kerana permintaan yang semakin tinggi daripada pengguna.
Bukan itu sahaja, pengguna juga dapat menggunakan servis ini untuk menghantar barang atau apa sahaja yang mereka inginkan.
Servis ini mulai menjadi perhatian dek kerana kekangan masa pengguna dan inginkan sesuatu barangan itu sampai kepada mereka dalam waktu segera.
Oleh kerana itu, ramai juga individu yang mulai membuat servis penghantaran sebagai kerja sampingan mereka. Namun, ada segelintir yang cuba mengambil kesempatan dengan mengenakan cas yang tidak masuk akal kepada pelanggan.
Seorang wanita, Mardhiah Mohamad tampil berkongsi di ruangan Facebook mengenai dirinya yang dirasakan seperti ditipu oleh seorang runner yang mengenakan cas RM50 walaupun jarak dari rumahnya ke kedai tersebut kurang daripada 8km.
Alasan yang diberikan runner tersebut adalah kerana sekarang musim hujan dan cuaca tidak menentu. Namun, tanpa banyak tanya dia telah membayar upah yang diminta itu.
Tidak berpuas hati dengan perkara tersebut, dia meminta pandangan dari warganet tentang kewajaran harga itu. Rata-rata warganet menyifatkan harga yang dikenakan memang sangat mahal dan tidak masuk akal dek kerana jarak yang terlalu dekat.
“Lagi mahal dari harga tiket bas dari Kelantan ke Kuala Lumpur,” komen seorang pengguna.
Baca juga: Lebih minat nak jadi mufti, ramai terkejut bila tahu cita-cita sebenar Dr Noor Hisham